Mendidik rakyat terutama di sekolah dan pusat
pengajian tinggi dan kempen anti-ekstrimisme adalah usaha yang efisyen
bagi membendung ancaman ini.
COMMENT
Oleh Faiz Fadzil
Dunia dikejutkan dengan siri pengeboman di beberapa buah negara
termasuk Perancis, Turki dan terkini Indonesia. Pemuda AMANAH mengecam
tindakan sebegini yang tidak Islamik dan tidak bertamadun.
Islam adalah agama yang membawa rahmat bukan sahaja kepada manusia,
malahan juga kepada seluruh alam. Islam menganjurkan keamanan negara,
kemakmuran hidup rakyat dan keharmonian antara kaum.
Amat malang jika pengeboman sebegini dilakukan oleh militan orang
Islam seperti kumpulan ISIS yang sememangnya bercanggah dengan ajaran
Islam. Kejadian sebegini akan meningkatkan lagi sentimen Islamophobia.
Keganasan dan ekstrimisme bukan method dakwah Islam. Pendekatan Islam
adalah wasatiah dan moderate. Maka, Allah memerintahkan hambaNya
berdakwah dengan bijak dan nasihat yang baik (an-Nahl:125).
Justeru, Pemuda AMANAH percaya bahawa keganasan sebegini disumbangkan
oleh salah faham tentang ajaran Islam yang sebenar dan sikap taksub
atau fanatik terhadap agama dan bangsa. Maka, Pemuda AMANAH tegas
menolak ajaran dan fahaman sebegini.
Masyarakat negara ini cukup bimbang sekiranya agenda ekstrimisme
sebegini menyerap masuk ke negara ini. Usaha semua pihak terutama pihak
kerajaan bagi membendung ekstrimisme perlu diberikan perhatian serius.
Mendidik rakyat terutama di sekolah dan pusat pengajian tinggi dan
kempen anti-ekstrimisme adalah usaha yang efisyen bagi membendung
ancaman ini.
Tindakan undang-undang jika diambil hendaklah berpaksikan kepada
keadilan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Keselamatan negara
hendaklah diimbangi dengan kebebasan dan hak yang dijamin perlembagaan
dan nilai sejagat.
Namun, usah pula kerajaan menggunakan alasan menyekat keganasan untuk
justifikasikan perlaksanaan undang-undang drakonian seperti POTA, SOSMA
dan Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sesungguhnya
kezaliman tidak menyelesaikan kesulitan ini.
Jangan kerana mahu mempertahankan kuasa, parti pemerintah UMNO terus
meniupkan sentiman perkauman kononnya Melayu akan hilang kuasa kepada
Cina jika UMNO hilang kuasanya.
Sesungguhnya, khurafat dan hegemoni ini yang boleh menimbulkan
ketakutan di kalangan masyarakat Melayu yang boleh menyemarakkan
semangat ekstrimisme yang akhirnya merugikan negara dan rakyat jika ia
berakhir dengan tindakan-tindakan keganasan.
Amat menghairankan bilamana kerajaan gagal mengambil tindakan
terhadap golongan yang bermain dengan api perkauman termasuk kumpulan
baju merah. Sikap pilih bulu kerajaan tidak menguntungkan rakyat
pelbagai kaum di negara ini.
Maka, Pemuda AMANAH menyeru agar sentimen perkauman dan fahaman
ekstrimisma dihindari bermula hari ini demi kejayaan negara jutaan hari
yang mendatang.
Faiz Fadzil merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka,
FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang
disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai
kaitan dengan FMT

No comments:
Post a Comment