Sunday, January 17, 2016

Bendung sentimen perkauman yang membawa kepada keganasan

FMT-January 17, 2016
Mendidik rakyat terutama di sekolah dan pusat pengajian tinggi dan kempen anti-ekstrimisme adalah usaha yang efisyen bagi membendung ancaman ini.
COMMENT
amanah
Oleh Faiz Fadzil
Dunia dikejutkan dengan siri pengeboman di beberapa buah negara termasuk Perancis, Turki dan terkini Indonesia. Pemuda AMANAH mengecam tindakan sebegini yang tidak Islamik dan tidak bertamadun.
Islam adalah agama yang membawa rahmat bukan sahaja kepada manusia, malahan juga kepada seluruh alam. Islam menganjurkan keamanan negara, kemakmuran hidup rakyat dan keharmonian antara kaum.

Amat malang jika pengeboman sebegini dilakukan oleh militan orang Islam seperti kumpulan ISIS yang sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam. Kejadian sebegini akan meningkatkan lagi sentimen Islamophobia. Keganasan dan ekstrimisme bukan method dakwah Islam. Pendekatan Islam adalah wasatiah dan moderate. Maka, Allah memerintahkan hambaNya berdakwah dengan bijak dan nasihat yang baik (an-Nahl:125).

Justeru, Pemuda AMANAH percaya bahawa keganasan sebegini disumbangkan oleh salah faham tentang ajaran Islam yang sebenar dan sikap taksub atau fanatik terhadap agama dan bangsa. Maka, Pemuda AMANAH tegas menolak ajaran dan fahaman sebegini.

Masyarakat negara ini cukup bimbang sekiranya agenda ekstrimisme sebegini menyerap masuk ke negara ini. Usaha semua pihak terutama pihak kerajaan bagi membendung ekstrimisme perlu diberikan perhatian serius.
Mendidik rakyat terutama di sekolah dan pusat pengajian tinggi dan kempen anti-ekstrimisme adalah usaha yang efisyen bagi membendung ancaman ini.

Tindakan undang-undang jika diambil hendaklah berpaksikan kepada keadilan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Keselamatan negara hendaklah diimbangi dengan kebebasan dan hak yang dijamin perlembagaan dan nilai sejagat.
Namun, usah pula kerajaan menggunakan alasan menyekat keganasan untuk justifikasikan perlaksanaan undang-undang drakonian seperti POTA, SOSMA dan Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sesungguhnya kezaliman tidak menyelesaikan kesulitan ini.

Jangan kerana mahu mempertahankan kuasa, parti pemerintah UMNO terus meniupkan sentiman perkauman kononnya Melayu akan hilang kuasa kepada Cina jika UMNO hilang kuasanya.
Sesungguhnya, khurafat dan hegemoni ini yang boleh menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat Melayu yang boleh menyemarakkan semangat ekstrimisme yang akhirnya merugikan negara dan rakyat jika ia berakhir dengan tindakan-tindakan keganasan.

Amat menghairankan bilamana kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap golongan yang bermain dengan api perkauman termasuk kumpulan baju merah. Sikap pilih bulu kerajaan tidak menguntungkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Maka, Pemuda AMANAH menyeru agar sentimen perkauman dan fahaman ekstrimisma dihindari bermula hari ini demi kejayaan negara jutaan hari yang mendatang.

Faiz Fadzil merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

No comments:

Post a Comment