Saturday, January 16, 2016

Guru Besar SJKC Pai Chee dipindah sementara

 | January 15, 2016
Tiga guru Melayu yang terbabit pula akan dipindahkan daripada sekolah itu.
guru-diserang
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengarahkan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, Mersing, Johor dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, tiga guru Melayu yang terbabit pula akan dipindahkan dari sekolah itu, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Guru Besar ditempatkan sementara di PPD sehingga siasatan selesai. Tiga guru Melayu yang terlibat akan digerakkan keluar dari sekolah,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya.

“Laporan penuh dijangka siap dalam tempoh tiga hari bermula tarikh siasatan. Harap semua pihak bertenang dan tidak menganggapnya isu perkauman. Kes seperti ini jarang berlaku,” katanya lagi.
Insiden yang tersebar meluas dalam media sosial ini bermula apabila salah seorang guru terbabit, Salina Daud, 49, membuat laporan polis selepas mendakwa bapa seorang murid menyerangnya.

Dalam laporan itu, Salina mendakwa, Ng See How menyerangnya dengan memakinya tanpa sebab dalam bahasa Cina kerana dia memarahi anak kepada lelaki terbabit.
“Saya melaporkan kejadian ini kepada guru kelas tetapi sehingga pukul satu tengahari (pada hari tersebut) tiada siapa pun (guru besar, guru kelas atau guru penolong kanan) yang datang berbincang. Saya membuat laporan ini kerana bimbang akan keselamatan saya,” katanya seperti yang dipetik daripada laporan viral mengenai insiden itu.

Guru wanita Melayu itu juga mendakwa sudah wujud insiden perkauman di sekolah itu, apabila guru besarnya pernah cuba menghalau guru Melayu di situ.

No comments:

Post a Comment