Malaysiakini 18/1/16
Persatuan bola sepak di negara ini
diingatkan supaya mencari syarikat yang benar-benar serius dan komited
sahaja dalam penajaan sukan itu dan bukannya pihak yang mementingkan
publisiti murahan semata-mata.
Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah walaupun
mencari penaja dalam sukan bola sepak diakui sukar pada masa ini, namun
perkara itu perlu diberi perhatian untuk mengelakkan timbulnya masalah
di kemudian hari.
Titah baginda antara masalah yang dikhuatiri
berlaku adalah kegagalan mematuhi sepenuhnya syarat penajaan selepas
perjanjian dimeterai berikutan ketidakmampuan penaja.
"Jadi kalau
nak cari penaja, biar cari penaja yang benar-benar berkemampuan. Kita
tak mahu nanti apabila berjanji, tak dapat ditunaikan di belakang hari,"
titah baginda di Kuantan.
Baginda bertitah demikian ketika
mengulas fenomena baharu dalam sukan bola sepak negara apabila beberapa
syarikat kosmetik tampil untuk menaja pasukan bola sepak baik dalam Liga
Perdana mahupun Liga Super.
Antaranya ialah Vida Beauty Sdn Bhd
yang dimiliki oleh usahawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau
lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang tampil menaja pasukan
Kelantan sebanyak RM16 juta.
Seorang lagi usahawan kosmetik Datuk
Aliff Syukri Kamarzaman, pemilik syarikat D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd,
juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menaja pasukan Selangor.
Selain itu syarikat kosmetik Megah Perawan turut merancang untuk menaja pasukan PKNS FC dengan nilai jutaan ringgit.
Mengulas
senario itu, Tengku Abdullah bertitah ia satu perkembangan yang baik
dan sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan imej sukan bola sepak
di negara ini menerusi penajaan yang diberikan.
"Kita alu-alukan
mana-mana individu dan syarikat hendak menaja pasukan bola sepak negeri,
bergantunglah kepada budi bicara mana-mana pasukan sama ada hendak
menerima atau menolaknya," titah baginda.
Titah baginda, masih
terlalu awal untuk membuat penilaian sama ada penajaan daripada syarikat
kosmetik ini mampu mengubah landskap sukan tersebut di negara ini.
"Soal mengubah landskap bola sepak, jadi lebih meriah, saya ingat kita perlu tunggu dan lihat," titah baginda.
- Bernama
No comments:
Post a Comment