19/1/16
Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin berharap ahli-ahli politik
Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah serta
raja-raja Melayu akan bertindak segera untuk memastikan negara dan
ekonominya tidak merosot.
Dalam blognya, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times
itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah kehilangan
kewibawaan dan autoriti moral untuk memerintah negara ini sejak
memenangi pilihan raya umum 5 Mei 2013, berikutan skandal yang
dihadapinya.
Ini, kata Kadir meskipun jentera propaganda Najib mendakwa sebaliknya berhubung projek cetusan ilham perdana menteri, 1MDB.

Menurutnya,
sejak 4 Januari lalu, apabila Bursa Malaysia dibuka untuk tahun baru
2016, ia jatuh 3.53 peratus dalam masa sembilan hari perniagaan dan
pasaran saham merosot lagi hari ini.
“Menurut majalah The Economist,
antara 31 Disember 2014 hingga 6 Januari lalu, Bursa Malaysia jatuh 5.3
peratus dalam nilai ringgit dan 24.6 peratus dalam nilai dolar Amerika.
“Perdana
Menteri dan jentera propaganda beliau mendakwa skandal perniagaan atas
angin 1MDB sudah selesai apabila dua aset utamanya – penjana elektrik
bebas (IPP) dan Bandar Malaysia - dijual kepada pemodal Negeri China,”
katanya.
Wartawan veteran itu berkata di kalangan pelabur,
penganalisis pasaran dan agensi penarafan naik turun pasaran saham
adalah ukuran keyakinan pemodal terhadap sesuatu perkembangan penting.
“Kejatuhan
berterusan Bursa Malaysia membayangkan penolakan pemodal terhadap
penyelesaian skandal 1MDB dan kurang keyakinan kepada pemerintahan
Najib,” katanya.
Kadir
berkata, jika pasaran saham bukannya satu-satu kayu pengukur, keyakinan
yang merosot terhadap Najib juga terserlah apabila agensi penarafan
antarabangsa Moody's menyemak turun penarafan ekonomi Malaysia daripada
positif kepada stabil.
Katanya, pada aras stabil, kerajaan terpaksa membayar kadar faedah yang lebih tinggi jika ia meminjam.
Beliau
berkata dalam keadaan di mana pendapatan kerajaan semakin berkurangan
akibat kejatuhan berterusan harga minyak mentah, perbendaharaan mungkin
terpaksa berhutang.
“Dasar fiskal Najib, khususnya penghapusan
subsidi dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), adalah
bertujuan, antara lain, mengambil hati agensi penarafan antarabangsa
agar tidak merendahkan penarafan Malaysia.
“Yang sebaliknya berlaku. Rakyat jelata menderita, penarafan Malaysia jatuh juga,” katanya.
Walaupun
sesetengah pihak percaya penyelesaian mungkin terletak pada pilihan
raya umum ke-14, Kadir tidak yakin ia akan menjadi begitu kerana bimbang
bahawa pada masa itu, Malaysia sudah menjadi negara gagal, rakyat
jelata papa kedana dan usaha memulihkan ekonomi menjadi amat sukar.
“Malah
tidak ada jaminan bahawa pilihan raya umum akan diadakan, dan kalau
diadakan sekalipun belum tentu parti baru akan berkuasa.
“Berjaga-jagalah. Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 memberi kuasa yang amat luas kepada perdana menteri,” katanya.
Justeru,
Kadir berkata jika ada sesiapa yang berasa berkewajipan dan berupaya
mengubah keadaan dan menyelamatkan negara, orang itu perlu bertindak
segera atau disyaki telah disajikan dedak.
“Tidak kiralah Tengku
Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin atau sesiapa saja –
perlulah bertindak segera atau disyaki telah disajikan dedak.
“Dalam
hubungan yang sama, Raja-raja Melayu turut terbabit kerana para Baginda
sudah pun mengeluarkan kenyataan pada 6 Oktober lalu yang sekali gus
menaikkan semangat dan harapan rakyat jelata bahawa merekalah pelindung
dan penyelamat mutakhir rakyat jelata dan negara.
“Rakyat jelata
sudah tahu Raja mana berpendirian apa. Jangan salahkan rakyat jelata.
Bukan semua rakyat jelata jahil dan boleh disuap dedak. Lagipun,
bilangan Raja-raja Melayu bukanlah ramai sangat – sembilan orang saja,”
katanya. MK
No comments:
Post a Comment