KFA perlu RM30 juta untuk pembiayaan pasukan berikutan sumber kewangan yang terhad
ALOR SETAR: Persatuan (KFA) memerlukan peruntukan sebanyak RM30 juta
bagi membiayai persatuan itu tahun ini, kata Menteri Besar Kedah, Datuk
Seri Mukhriz Mahathir.
Mukhriz yang juga Presiden KFA berkata, selain untuk pasukan utama
bola sepak negeri, ia juga digunakan untuk program kejurulatihan dan
pembangunan pemain muda negeri untuk jangka masa panjang.
Beliau berkata, program pembangunan bola sepak negeri ini juga
penting bagi memastikan setiap pemain mendapat pendedahan yang dapat
mematangkan mereka dalam sukan bola sepak.
“Setakat ini, kita masih melakukan rundingan dengan anak syarikat
kerajaan negeri dan beberapa syarikat korporat untuk menaja KFA. Kita
juga mengalu-alukan mereka yang berminat untuk taja KFA tampil untuk
berbincang dengan kita.
“Prestasi pemain amat memberangsangkan musim lepas dan kita juga
mempunyai ramai penyokong yang sentiasa membanjiri Stadium Darul Aman
setiap kali perlawanan berlangsung,” katanya ketika ditemui di Taman Sri
Putra, Kuala Kedah, hari ini.
Mukhriz berkata, kerajaan negeri yang mempunyai sumber kewangan yang
terhad untuk KFA juga tidak pernah lambat atau gagal untuk melakukan
pembayaran gaji pemain mengikut masa yang ditetapkan.
Beliau berkata, dengan peruntukan terhad tahun lepas, pihaknya turut
melakukan pelbagai program pembangunan bola sepak seperti menganjurkan
Piala Menteri Besar Kedah bagi mencungkil lebih ramai pemain pelapis.
Terdahulu, Mukhriz hadir pada majlis kesyukuran bagi meraikan pelari
solo, Nasir Abas, 60, yang melakukan larian sejauh kira-kira 500
kilometer dari Stadium Shah Alam, Selangor, mulai 13 Dis tahun lalu,
selepas berakhirnya perlawanan akhir Piala Malaysia.
Nasir tiba di Stadium Darul Aman pada 22 Dis lalu, melakukan larian
tersebut sebagai tanda sokongan dan terima kasih kepada skuad Lang Merah
yang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor.
–BERNAMA

No comments:
Post a Comment