Monday, January 18, 2016

Pesakit berpeluh, kontraktor hospital cuti hujung minggu

18/1/16

Kakitangan di Hospital Melaka membawa kipas ke wad apabila dimaklumkan ramai pesakit yang kepanasan akibat sistem penghawa dingin yang tidak berfungsi selama dua hari.

Walaupun kerosakan pada sistem penghawa dingin itu telah dimaklumkan kepada kontraktor penyelenggaraan swasta oleh jururawat, namun mereka memilih untuk membiarkan pesakit kepanasan kerana ia adalah cuti hujung minggu.
"Saya baru sahaja memantau keadaan dan mengarahkan tindakan segera, termasuk menyediakan kipas sementara ketika sistem penghawa dingin dibaiki," kata Pengarah Hospital Melaka Dr Zaaba Baba ketika dihubungi Malaysiakini.

Zaba, yang bertindak dalam masa sejam selepas e-mel Malaysiakini, berkata kontraktor penyelenggaraan swasta diwajibkan untuk memberikan perkhidmatan sepanjang masa.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan berkata kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di pusat sistem penghawa dingin untuk Hospital Selayang yang rosak pada 14 Januari lalu.
Awal bulan ini, penghawa dingin di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan juga dilaporkan tidak berfungsi dan tingkap dibiarkan terbuka bagi membolehkan udara masuk selain kipas berdiri digunakan untuk menyejukkan pesakit dan peralatan penting.

Seorang ahli keluarga pesakit Hospital Melaka memberitahu Malaysiakini bahawa pekerja penyelenggaraan melakukan kerja-kerja pembaikan ke atas sistem penghawa dingin yang rosak itu, lewat malam semalam.
"Kami telah mengadu kepada kakitangan hospital dan mereka beritahu bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana syarikat penyelenggaraan itu tidak bekerja pada hujung minggu," katanya.

Wanita yang enggan dikenali itu, berkata keluarganya membawa dalam kipas meja yang dijadikan satu-satunya sumber pengudaraan untuk wad tersebut.

Sesetengah pesakit tua juga menanggalkan pakaian mereka kerana mereka tidak tahan panas, katanya.
"Sekarang semua orang selesa. Hanya sekejap sahaja kerja-kerja pembaikan," katanya.

Walaupun penyelenggaraan hospital diserahkan kepada kontraktor swasta, standard atau mutu perkhidmatan di hospital awam adalah pada tahap membimbangkan berikutan pemotongan bajet kepada Kementerian Kesihatan.
Kerajaan memberi jaminan bahawa ia tidak akan berkompromi dalam penjagaan kesihatan dan berkata pengurangan bajet akan dibuat bagi persidangan dan lawatan ke luar negara, antara lain.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment