Ahmad Zahid berkata, pindaan undang-undang tidak perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian ini berulang di masa hadapan.
PUTRAJAYA: Empat agensi kerajaan diarah menyiasat kes tahanan didera
dan dipukul sehingga mati oleh polis, ketika berada dalam lokap, pada 21
Mei 2013.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata,
agensi-agensi berkenaan akan bekerjasama bagi melihat aspek perundangan
yang dapat diambil terhadap anggota dan pegawai polis terlibat dalam
kematian N Dharmendran.
“Saya telah memperoleh laporan daripada Ketua Pengarah Jabatan
Penjara dan juga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
“Agensi ini akan melakukan siasatan dengan kerjasama Jabatan Penjara
dan Kementerian Kesihatan serta pihak polis untuk melihat aspek-aspek
yang boleh diambil tindakan perundangan terhadap mereka yang terlibat,”
katanya dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid juga berpendapat, pindaan undang-undang
tidak perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang di masa
depan.
“Saya fikir tindakan dalaman dan tindakan perundangan telah dilakukan
sebelum ini dan tidak mustahil perundangan sedia ada boleh diaplikasi
untuk perkara-perkara berkenaan,” ujar beliau lagi.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab saranan
Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam yang meminta Kementerian Dalam
Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (JPN) meminda peruntukan Kanun
Keseksaan (Akta 574) dan Akta Keterangan 1950.
Kata Yaacob, ia perlu bagi memasukkan peruntukan anggapan yang
meletakkan beban bukti ke atas pegawai dan anggota yang mempunyai hak
jagaan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungjawab terhadap sebarang
kecederaan atau kematian tahanan sehingga dibuktikan sebaliknya.
Sebelum ini, EAIC mendedahkan kematian Dharmendran berpunca daripada
penggunaan kekerasan fizikal oleh polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Kuala Lumpur (IPKKL), pada Mei 2013.
Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik di Hospital Kuala Lumpur
mendapati, mayat Dharmendran mempunyai 52 kecederaan dalam bentuk kesan
lebam yang dipercayai berpunca daripada hentakan objek atau benda tumpul
yang mengakibatkan kehilangan darah dengan banyak sehingga menyebabkan
renjatan hipovolemia.
Pakar forensik mengesahkan dawai kokot turut diketip di telinga si
mati, semasa Dharmendran masih hidup, dianggarkan tidak lebih dua hingga
tiga hari, sebelum tarikh bedah siasat dijalankan.
No comments:
Post a Comment