Rakyat Johor telah terbukti menerima kepimpinan Najib Razak dan hubungan kerajaan negeri dengan Pusat juga terjalin baik.
KUALA LUMPUR: UMNO Johor tidak memerlukan sebarang deklarasi untuk
menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai
Perdana Menteri dan Presiden parti.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata,
rakyat Johor telah terbukti menerima kepimpinan Najib dan hubungan
kerajaan negeri dengan Pusat juga baik.
“Itu (deklarasi) bukan cara kita apabila bercakap mengenai UMNO
Johor. Ia sokongan yang tidak perlu dinyatakan, tidak payah ada
deklarasi.
“Tidak payah semua itu kerana hubungan memang sudah terjalin dengan begitu baik,” katanya di Parlimen hari ini.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) berkata, rakyat
Johor sangat demokratik dan terbuka dalam apa-apa jua perkara termasuk
isu desakan menolak Najib.
“Kami (UMNO Johor) sangat demokratik, kami terbuka, kami benarkan
perbincangan, kami tidak paksa orang untuk mengikuti garisan tertentu.
“Tidak ada paksaan menyokong Perdana Menteri, kami sedar proses yang
berlaku. Kami bukan dalam keadaan terdesak utuk menukar kerajaan,”
katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
telah bertemu dengan Najib bagi menyerahkan ‘Deklarasi Kedah’ yang
menyatakan sokongan terhadap Najib sebagai Perdana Menteri serta
Presiden UMNO.
Deklarasi itu turut mendesak Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin
UMNO memecat anggotanya yang terlibat dengan Deklarasi Rakyat yang
didakwa bersekongkol dengan pembangkang.
Deklarasi Kedah itu menyusul selepas UMNO Kelantan termasuk Tengku
Razaleigh Hamzah menandatangani Deklarasi Kelantan sebagai sokongan
kepada Najib baru-baru ini.

No comments:
Post a Comment