Sinar Harian
“KITA guna tiga kapal terbang kecil bagi membenihkan awan dan saya rasa
terpanggil untuk bantu rakyat negeri ini memandangkan tempoh cuaca
kemarau sudah lama,” demikian luah anak jati Kelantan yang juga Ketua
Pegawai Eksekutif AF Jets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar, 42.
Usaha percubaan dan kajian pembenihan awan berkenaan yang dimulakan
semalam menggunakan kapal terbang jenis Cessna Grand Caravan di sekitar
bandar Kota Bharu, menampakkan potensi pembuatan awan akan berhasil.
Operasi pembenihan dijangka berlangsung 10 hari
Awal pagi semalam, bersama tujuh kakitangan AF Jets, pihaknya melakukan
percubaan menggunakan kaedah ‘weather mod’ bagi membenihkan awan dan
pada hujung minggu hadapan, operasi pembenihan dijangkakan berlangsung
selama 10 hari.
Memperuntukkan kira-kira RM300,000 kos bagi belanja membenihkan awan,
AF Jets secara sukarela bekerjasam dengan kerajaan negeri melakukan
kerja berkenaan secara percuma bagi membantu rakyat Kelantan.
“Sebatang suar untuk usaha ini berharga kira-kira RM600 dan selepas
ini, beribu-ribu batang suar dari Amerika Syarikat (AS) akan sampai
untuk memudahkan kerja membenihkan awan.
“Sebelah sayap kapal terbang boleh memuatkan 24 suar, manakala sebelah
lagi 24 suar digunakan dalam tempoh tiga hingga empat jam semasa proses
berkenaan dijalankan di seluruh daerah di Kelantan,” katanya.
Guna 100kg garam tanpa air
Amrul Nizar berkata, kelebihan pembenihan awan yang dijalankan mengikut
kajian AF Jets ialah ia menggunakan konsep ubah suai dan membenihkan
awan menggunakan rembesan 100 kilogram (kg) garam tidak dicampur air
(dry seeding) bagi sebatang suar.
“Kita akan terbang pada awal pagi untuk melakukan proses pembenihan
awan kerana waktu pagi, atmosfera akan diubahsuai supaya awan mudah
terbentuk,” kata anak kepada tentera ini.
Menguatkan usahanya itu, Amrul Nizar berkata, semasa operasi
pembenihan awan di Kelantan, terdapat empat kakitangan bertugas sehari,
termasuk seorang juruterbang.
“Kita tidak kejar awan, sebaliknya kita ‘buat’ awan dan tukarkan kepada
hujan. Daripada tiada hujan, kita ikhtiar sebaik-baiknya,” katanya.
Perlu mula dari sekarang
“Untuk usaha pembenihan awan ini, kita boleh menggunakan kapal terbang
kecil, malah saiz kecil lebih baik berbanding besar memandangkan kawasan
yang dicari adalah luas.
“Kami akui, tompokan hujan kurang tetapi kita perlu mulakan dari
sekarang. Jika tidak, cuaca di negeri ini akan berterusan panas,”
katanya selepas mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra
(LTSIP).
Ditanya bagaimana tercetus hasrat itu, dia mengakui, sebagai anak jati
Kelantan biarpun dibesarkan di Kuala Lumpur, dia akui terkesan dengan
keadaan cuaca panas yang melanda negeri itu dan timbul hasrat untuk
membantu, dengan harapan bumi Serambi Makkah ini dibasahi hujan.
“Saya berbincang dengan ahli keluarga, ibu pun selalu bertanya bila nak
bantu anak-beranak yang ada di Kelantan yang menghadapi kesukaran
terutama ketiadaan air. Jadi memandangkan kerja kita membenihkan awan,
saya sahut hasrat hati ibu.
“Kasihan ibu saudara panas dan ahli keluarga di Kelantan, saya
dikhabarkan juga, padi pun tidak boleh tanam waktu ini sebab takut
berisiko. Jika tak boleh tanam padi, harga beras pun naik, jadi untuk
elak keadaan tambah kritikal, saya ambil inisiatif ini dengan ikhtiar
membenihkan awan,” katanya.
Doa, solat hajat dan ikhtiar benihkan awan
Menurut cucu dalam Persatuan Tok Wali Che Mud, Pasir Hor ini, usaha itu
dilihat berpotensi selain doa sebagai ikhtiar paling baik.
“Di dunia, ikhtiar paling baik untuk satu-satu perkara, yang turunkan
hujan adalah ALLAH SWT. Bagusnya di Kelantan ini, ada solat hajat, ada
ikhtiar dan usaha ini dikira sudah 100 peratus kita buat.
“Bukan saya tidak mahu buat di negeri lain, cuma negeri lain sudah ada
arahan dari pihak majlis dan untuk tunggu Kelantan masuk dalam senarai
pembenihan awan, rasanya ia memakan masa agak lama, jadi AF Jets tampil
untuk kajian dan tanggung jawab sosial korporat (CSR) ini.
“Saya bukanlah bomoh hujan, tetapi kami tekad berikhtiar memandangkan kami ada kepakaran dalam bidang ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment