Tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah
dalam pembangunan projek-projek di ibu negara, khususnya yang
membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat
baru-baru ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib akan
diminta menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap
mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam
berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga
akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani
isu berkenaan.
“Yang terbaik ialah menyelesaikan masalah rakyat ini dalam jangka
segera dan dalam jangka panjang supaya ia tidak berlaku lagi. Tidak
sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan
infrastrukturnya cukup baik.
“Mungkin ada permasalahan dari segi pengaliran air hujan
berlebihan…saya akan membantu kementerian dan jabatan berkenaan untuk
selesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Hari Keluarga 2016 Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Timbalan Perdana
Menteri di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras,
hari ini.
Turut hadir Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan
Mohamed dan Masir Kujat serta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri
menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat
penyiasatan susulan tindakan kartunis politik tempatan, Zulkifli Anwar
Ulhaque atau Zunar yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak melalui karyanya pada satu pameran di Geneva, Switzerland.
“Dari segi pengendalian, saya serahkan kepada pihak polis…itu
pendekatan saya, atau beberapa pihak lain dari segi pelaksanaan
penyiasatan dan tindakan undang-undang,” katanya yang berpendapat isu
itu turut membabitkan aspek moral, akhlak, dan integriti individu
berkenaan.
“Mengkritik tidak jadi masalah, tetapi menghina adalah satu perkara
lain… saya terima kritikan terutama yang membina sebagai sesuatu yang
sihat tetapi menghina adalah sangat berbeza.
“Saya fikir dalam hal ini saya minta supaya Allah buka hati mereka
supaya segera bertaubat dan segera untuk menggunakan pendekatan lain
kalaupun mahu meraikan perbezaan pendapat,” katanya.

No comments:
Post a Comment