KOTA BHARU - Hukuman penjara sebulan terhadap penyanyi dikir barat moden Kelantan, Kajol yang berlagak dan berpakaian wanita di sebuah hotel, di sini, dibatalkan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, hari ini.

Keputusan dibuat Hakim, Nik Najib Che Hassan selepas membenarkan rayuan tertuduh atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Jafferi, 30.
Nik Najib dalam pada itu turut mengekalkan hukuman denda RM1,000 yang dikenakan atas kesalahan kali keempat tersebut. Denda berkenaan sudah pun dijelaskan tertuduh sebelum ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sedih Kajol dihukum penjara]
Kajol bagaimanapun tidak hadir pada prosiding berkenaan dan hanya diwakili peguam syarie, Che Nur Intan Nazuha Che Mohd Noradi, manakala pendakwaan diwakili Pendakwa Syarie, Zaini Sulaiman.

Kajol dalam rayuannya menyatakan hukuman penjara tersebut amat berat terhadap dirinya kerana naluri yang dimiliki itu bersifat semula jadi serta bukan dibuat-buat.

“Sifat sebegitu, memerlukan masa yang agak panjang untuk perayu (Kajol) berubah kepada sifat kelakian iaitu sifat asal perayu (Kajol),” kata peguam.
Beliau turut menghujahkan hukuman penjara tersebut juga boleh menjejaskan, merencatkan kehidupan dan menggelapkan masa depan Kajol yang berstatus mualaf.

Kajol juga berhak diberi peluang kerana dia mengaku sudah benar-benar menyesal dan insaf serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Hujahan itu kemudiannya diterima baik mahkamah sekali gus membatalkan hukuman penjara bagi memberi peluang kepada Kajol berubah ke arah yang lebih baik dan belajar untuk mendalami Islam.