Lima pakar arkeologi mewakili lima tamadun utama
dunia iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rome
menandatangani plak pengisytiharan itu.
SUNGAI PETANI: Kompleks Arkeologi Sungai Batu hari ini melakar
sejarah buat negara dan Asia Tenggara apabila diisytihar secara rasmi
sebagai tamadun terawal dan tertua di rantau itu.
Acara bersejarah itu diabadikan melalui penyerahan plak
pengisytiharan oleh pakar arkeologi dari Universiti Oxford, Profesor Dr
Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global
di Universiti Sains Malaysia Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin.
Ia berlangsung pada majlis penutupan Festival Kedah Tua 2016 di sini
yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan
dan Kerja Raya Kedah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid yang mewakili Menteri
Besar Kedah.
Lima pakar arkeologi mewakili lima tamadun utama dunia iaitu
Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rome menandatangani
plak pengisytiharan itu, kata Mokhtar.
“Malangnya pakar arkeologi Mesir, Dr Zahi Hawas, tidak hadir ke
Persidangan Antarabangsa Kedah Tua menyebabkan kita tidak berjaya
mendapatkan beliau untuk menandatangani plak itu.
“Beliau sepatutnya hadir sebagai pakar tamadun Mesir tetapi tidak
dapat dihubungi pada saat akhir.
Sekiranya ada keperluan untuk kita ke
Mesir dan dapatkan tandatangannya, kita akan ke sana,” katanya.
Menurutnya, pengisytiharan itu akan membantu melancarkan usaha
mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) ke arah menjadikan
Kompleks Arkeologi Sungai Batu sebagai Tapak Warisan Dunia.
Selain itu, ia juga akan membantu membangunkan tapak arkeologi itu sebagai produk arkeopelancongan, katanya.
“Tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita hendak
menjalankan usaha pemuliharaan tapak ini pada masa akan datang,”
katanya.
Persidangan Antarabangsa Kedah Tua (KTIC) yang berakhir semalam
dianjurkan bersempena Festival Kedah Tua 2016 bagi mengetengahkan
tamadun Kedah Tua serta kepentingannya di rantau Asia Tenggara.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment