Sinar Harian
SHAH ALAM – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan
Sri Rafidah Aziz hari ini memberikan peringatan buat semua pihak
terlibat dalam sistem pendidikan negara supaya tidak melibatkan bidang
itu dengan politik.
Tegasnya, pendidikan tidak boleh dibenarkan menjadi isu untuk mana-mana debat politik termasuklah dalam kempen pilihan raya.
“Apatah lagi melalui politik bermusim seperti pemilihan parti, pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri.
“Apa yang lebih penting daripada semua itu, jangan mempolitikkan
pendidikan dan membenarkan politik...daripada memburukkan lagi keadaan
dengan dasar yang mengikut rasa serta keputusan ‘ad-hoc’,” katanya
melalui kemas kini status di Facebook, hari ini.
Menurutnya, pihak mengendalikan pendidikan perlu serius menangani isu
ketidakseimbangan antara tawaran dan permintaan dalam pasaran pekerjaan
di semua sektor.
“Selain itu, betulkan semua kekurangan di setiap peringkat dalam
rantaian nilai pendidikan...termasuk latihan guru, penggunaan optimum
ICT , strategi dan pendekatan di dalam pengajaran untuk memastikan
polisi pendidikan dinamik.
“Fokus pada apa keperluan persekitaran kendalian sebenarnya dalam
konteks perkembangan dunia dan kita mesti melihat ke depan melangkaui
2020 ke dalam era generasi Z,” katanya.
Tambahnya, buat masa sekarang, semua pihak perlu fokus memperbaiki dan
mengasah kepandaian anak-anak muda kita supaya mereka boleh menjana
kecerdasan dalam pelbagai sektor ekonomi.
No comments:
Post a Comment