Wednesday, June 29, 2016

Lima Ketua Umno Cawangan Pagoh letak jawatan

Lima Ketua Umno Cawangan Pagoh letak jawatan
Mohd Solihan membakar kemeja Umno sebagai tanda protes terhadap keputusan parti berkenaan yang melucutkan keahlian Muhyiddin baru-baru ini. - Foto Sinar Harian
 
PAGOH - Lima ketua Umno Cawangan Pagoh meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta ekoran kecewa dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang melucutkan keahlian Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada parti berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, kelima-lima individu terbabit mendakwa mereka masih mengekalkan keahlian dalam parti berkenaan kerana masih sayangkan Umno.

Mereka adalah Ketua Cawangan Grisek, Datuk Tahir Mohd Taat; Ketua Cawangan Batu Enam, Datuk Abd Aziz Hashim; Ketua Cawangan Parit Medan, Mohd Solihan Badri dan Ketua Cawangan Kurnia Sakti, Hedzer Ahmad serta Ketua Cawangan Kundang Ulu, Ahmad Kamit.
Tahir berkata, tindakan mereka meletakkan jawatan adalah sebagai tanda protes selain membantah keputusan yang dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita membantah pemecatan Tan Sri Muhyiddin yang dibuat oleh MT baru-baru ini. Bagi saya, pemecatan itu dibuat tanpa mengikut prosedur yang selaras dengan perlembagaan parti.
"Tan Sri Muhyiddin menjalankan tanggungjawabnya dengan amanah dan tindakan beliau menegur presiden adalah demi menyelamatkan parti ini," katanya ketika ditemui selepas perjumpaan tertutup dengan Ketua-ketua Cawangan dalam bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini.
Manakala bagi Ahmad, keputusan MT melucutkan jawatan Muhyiddin sememangnya meninggalkan kesan kepada beliau.

"Beliau (Muhyiddin) merupakan pemimpin yang disegani dan dihormati. Saya boleh terima sekiranya beliau hanya dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden, namun tindakan MT yang turut melucutkan keahliannya sebagai Umno turut membuatkan saya terasa.

“Saya sememangnya tidak dapat menerima keputusan ini dan membantah sekeras-kerasnya tindakan yang dilihat tidak wajar dalam sesebuah parti,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Solihan yang juga merangkap sebagai Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) berkata, beliau juga tidak menolak andainya wujud parti baru yang diterajui Muhyiddin.

“Jika Tan Sri Muhyiddin mahu memperjuangkan nasibnya dengan menubuhkan parti politik baru, saya dan rakan-rakan yang lain sedia untuk membantu beliau dan meneruskan perjuangan parti berkenaan.

“Saya percaya sebenarnya ramai yang membantah dan mahu keluar daripada parti namun mereka masih teragak-agak kerana tidak jelas dan keliru dengan pendirian mereka. Namun saya pasti, keputusan kami ini boleh mempengaruhi ahli Umno lain yang dilihat begitu kecewa terhadap tindakan MT ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment