SHAH ALAM - Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman
Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail sanggup berdepan risiko
dipecat daripada parti selepas mengumumkan bertanding sebagai calon
bebas di Parlimen Kuala Kangsar, semalam.
Syed Rosli juga sedia maklum dengan risiko yang bakal dihadapi, kerana
perlembagaan parti jelas menyebut, mana-mana ahli Umno yang bertanding
dalam pilihan raya atas tiket bebas akan dipecat atau dilucutkan
jawatannya.
“Risiko kehilangan keahlian dan jawatan saya adalah pengorbanan kecil
kepada perjuangan yang akan saya lakukan demi rakyat di Parlimen Kuala
Kangsar.
“Saya tidak takut dipecat. Sebelum keputusan dibuat (dua hari lalu)
untuk bertanding, saya sudah fikir apa kesannya. Sudah tentu saya harus
reda dengan sebarang tindakan daripada parti,” katanya.
Menurut Syed Rosli, keputusan dibuat bukan untuk mencari kemenangan,
tetapi sebagai mesej kepada kepimpinan parti supaya tidak membuat
keputusan atau memilih calon yang tidak sesuai.
Katanya, calon BN iaitu Datin Mastura Mohd Yazid masih dalam tempoh
edah dan tidak boleh keluar berkempen. Beliau juga bukan anak tempatan.
“Adakah Umno (seakan) terdesak, tidak mempunyai calon yang layak di Kuala Kangsar untuk diketengahkan sebagai wakil rakyat.
“Saya menentang keputusan ini dan kecewa dengan tindakan kepimpinan
parti. Atas sebab itu saya mengambil langkah dan keputusan drastik,
bertanding sebagai calon bebas,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Syed Rosli sahkan tanding PRK sebagai calon bebas]
[ARTIKEL BERKAITAN: Syed Rosli sahkan tanding PRK sebagai calon bebas]
Bagi Syed Rosli, adalah satu bentuk penghinaan apabila calon bukan dari
kalangan anak tempatan dipilih seolah-olah tiada yang berkelayakan
tinggi untuk dicalonkan.
“Saya yakin, jika tiada masalah dan secara sah menjadi calon, ia akan memberi impak kepada undi-undi Umno khususnya,” katanya.
Katanya, sekiranya berlaku pertandingan empat penjuru antara BN, Pas
dan berkemungkinan calon dari Pakatan Harapan, Umno akan mengalami
kerugian dan mungkin tewas PRK Kuala Kangsar.
“Kemungkinan akan berlaku undi protes. Rakyat mungkin tidak akan mengundi Pas mahupun calon dari Pakatan Harapan.
“Jadi sebagai calon bebas, dan bekas ahli Umno (yang akan dipecat)
pengundi tahu jiwa saya. Insya-ALLAH separuh daripada undi protes akan
memihak saya dan Umno akan kalah,” katanya
No comments:
Post a Comment