Wednesday, July 27, 2016

Bukan taraf Mat Said pegang jawatan timbalan exco, kata pemimpin

 FMT| July 26, 2016
Sebagai bekas menteri besar yang banyak mempunyai rahsia kerajaan negeri, sepatutnya perlu diberi jawatan lebih tinggi sebagai tanda hormat.
ahmad-said
PETALING JAYA: Seorang pemimpin BN Terengganu mempertahankan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said susulan penolakan tawaran jawatan timbalan exco, kerana tawaran itu seperti satu penghinaan buatnya.

Beliau yang enggan dikenali berkata, Ahmad Said sepatutnya diberi jawatan lebih tinggi memandangkan beliau mempunyai kerahsiaan kerajaan negeri dan banyak berjasa kepada rakyat Terengganu.
Katanya, tindakan menawarkan jawatan timbalan exco kepada Ahmad Said seolah-olah Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman tidak menghormatinya sebagai ketua kerajaan sebelum ini.

“Mat Said sebagai bekas menteri besar yang mempunyai banyak rahsia kerajaan, beliau sepatutnya perlu diberi mandat yang setara sekali gus tanda hormat kepadanya sebagai bekas menteri besar dan exco sebelum ini.
“Malah Mat Said juga mempunyai pengaruh yang kuat kerana rakyat di bawah suka dengan kepimpinannya, beliau juga tidak terlalu protokol bila bersama rakyat.

“Pemuda, Puteri, Wanita sayangkan dia, oleh itu kerajaan negeri seharusnya menjaga hubungan dengan Mat Said,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Mat Said dilaporkan menolak tawaran jawatan sebagai timbalan exco baru-baru ini kerana merasakan ia ‘penghinaan’ buatnya.

Dalam rombakan portfolio exco kerajaan negeri itu, Mat Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan.
Mat Said berkata beliau akan terus bersama Umno selagi parti Melayu itu tidak memecatnya.

Sementara itu, Adun Pengkalan Berangan A Latiff Awang yang juga exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Mat Said sebaliknya menyerahkan kepada menteri besar untuk menjawabnya.

Beliau pada masa sama tidak menafikan kerjasama antara Ahmad Said dalam membantu kerajaan negeri amat diperlukan bagi menguatkan pentadbiran kerajaan BN mentadbir Terengganu.
“Saya yakin dia (Mat Said) akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri.” katanya ketika dihubungi FMT.

Nada sama disuarakan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau Negeri Rosli Othman yang menyokong supaya Ahmad Said bersama kerajaan negeri dalam membetulkan kepincangan yang berlaku.

No comments:

Post a Comment