Thursday, July 14, 2016

DAP: Khairy membisu bukti tiada pengaruh dalam Pemuda Umno

 | July 14, 2016
Khairy perlu mengambil peluang mengambil tindakan tatatertib sewajarnya terhadap mereka yang menimbulkan kekecohan di hadapan ibu pejabat DAP kelmarin.
DAP-HQ-protest
PETALING JAYA: DAP hari ini mempersoalkan sikap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang belum memberikan sebarang komen susulan tindakan sekumpulan ahlinya mengadakan protes di luar Ibu Pejabat DAP di Cheras, kelmarin.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, ia menunjukkan Khairy tidak berpengaruh dalam Pemuda Umno kerana tidak mampu menegur penunjuk perasaan yang terbabit dalam protes itu.

“Khairy perlu mengambil peluang ini untuk mengambil tindakan tatatertib sewajarnya terhadap mereka yang terbabit untuk menghantar mesej jelas perbuatan sedemikian sama sekali tidak boleh dibiarkan atau mereka berdepan risiko dilabel sebagai tidak berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, protes Selasa lalu jelas melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan 1948, dan kegagalan Umno mengambil tindakan memberi tanggapan ia menyetujui kekecohan yang ditimbulkan pada protes itu.

Beliau turut menyeru Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar segera mengambil tindakan.
“Kekurangan tindakan polis adalah berbahaya kerana insiden itu mungkin menggalakkan kejadian sama berulang pada masa depan,” katanya.

Kelmarin, kira-kira 200 penunjuk perasaan berhimpun di luar Ibu Pejabat DAP di Cheras untuk membantah tindakan Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming yang dituduh memuat naik karikatur mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu pada hari raya sebagai rasuah menerusi Facebooknya

No comments:

Post a Comment