Wednesday, July 6, 2016

Diam! Kamu bantu cipta IS, kata Marina

Malaysiakini 5/7/16
Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir meradang dengan individu yang didakwanya membantu mewujudkan Negara Islam (IS), tetapi kini menasihati orang lain supaya tidak menyertai kumpulan pengganas berkenaan.

Anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pandangan beliau mengenai isu itu di laman Twitter.
Marina berkata orang ramai perlu menyedari bahawa tidak menyertai IS bukan sekadar terhad kepada perbuatan mengangkat senjata.

Menurut beliau, ia juga membabitkan tidak berfikiran sempit seperti militan IS.
"Masalahnya, ramai yang berfikiran seperti IS tetapi mungkin tidak terbabit dengan keganasan. Tetapi ia hanya perlu satu orang sahaja untuk mewujudkan kekacauan.

"Dan apabila seorang itu berbuat demikian, tidak kira sama ada mereka adalah IS atau bukan, maka orang lain tidak mengutuknya. Kerana sebenarnya mereka bersetuju dengannya," kata Marina.
Justeru, beliau berkata kitaran itu berterusan.

"Jadi apabila saya melihat ahli-ahli politik dan ulama berkata 'jangan sertai IS', apa yang ingin saya katakan adalah diam kerana kamu membantu mencipta mereka," katanya.
Semalam, polis mengesahkan kumpulan IS adalah dalang di sebalik letupan bom tangan di kelab malam di Puchong, bulan lalu yang mencederakan lapan orang.

Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan bahawa 15 orang telah ditangkap, termasuk dua anggota polis berpangkat rendah kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.
Serangan di Puchong itu dilakukan ketika tersebarnya video propaganda ISA yang memberi amaran akan melakukan keganasan terhadap polis di Malaysia dan ugutan membunuh terhadap masyarakat bukan Islam.

Dalam video itu, seorang ahli IS Malaysia menggesa penyokong untuk menggunakan apa cara sekalipun untuk membunuh orang-orang kafir dan menggunakan kenderaan untuk melanggar mereka.

Pagi ini, pengebom bunuh diri menyerang tiga bandar di Arab Saudi dengan mensasarkan diplomat Amerika Syarikat dan jemaah Syiah.
Seorang pengebom meletupkan dirinya di sebuah tempat letak kereta di pekarangan Masjid Nabawi di Madinah, tapak kedua paling suci dalam Islam

Begitu juga, seorang lelaki maut selepas meletupkan dirinya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Solo di Jawa Tengah Indonesia pagi tadi.

No comments:

Post a Comment