Harapan untuk melihat 'gencatan senjata' di kalangan pembangkang
mungkin berkecai jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap
mahu mengadakan pilihan raya mengejut negeri berkenaan, kata
penganalisis.
"Jika mereka mengadakan pilihanraya mengejut tanpa memulihkan
hubungan dengan PAS, ia akan mengeruhkan hubungan dengan pemimpin PAS
yang kian cenderung untuk kembali kepada pakatan pembangkang," kata
Profesor Faisal Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia, kepada Malaysiakini.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini telah
mengeluarkan kenyataan peribadi buat parti-parti pembangkang untuk
mengetepikan perbezaan dan menentang musuh sebenar iaitu BN.
Walaupun tiada langkah konkrit ke arah ini, Ketua Ideas, Wan Saiful
Wan Jan berkata, pilihan raya mengejut akan menjurus kepada pembangkang
terpaksa melakukan 'gencatan senjata' sesama mereka.
Bagaimanapun, ujar beliau berkata, strategi berkenaan boleh hancur semasa sesi perundingan pembahagian kerusi.
"Kita perlu ingat di Pulau Pinang, PAS memainkan peranan yang agak
besar dan Parti Amanah Negara (AMANAH) belum sekuat PAS lagi, dinamik
yang penting.
"Rundingan pembahagian kerusi antara PAS dan AMANAH bukan sesuatu
yang mudah...dan berkemungkinan mengakibatkan 'gencatan senjata' tidak
berlaku," tambahnya.
Faisal berkata, akibat daripada keadaan tersebut akan melangkaui pilihan raya negeri Pulau Pinang.
"Jika keadaan seperti ini berlaku, semasa pilihan raya umum akan datang , adalah sukar untuk mengadakan perikatan pembangkang."
Kedua-dua penganalisis, bagaimanapun, sependapat pembangkang masih boleh menang di Pulau Pinang.
Sementara itu, Wan Saiful menambah, cadangan mengadakan pilihan raya
negeri untuk mendapatkan sokongan terhadap Lim adalah strategi yang
salah kerana ia tidak akan menghentikan prosiding rasuah terhadap ketua
menteri itu
No comments:
Post a Comment