Seksyen 17 Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa iklan sesuatu makanan tidak boleh mempunyai sebarang akuan kesihatan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan terhadap
penjualan dan pengiklanan air Kangen yang didakwa mempunyai pelbagai
akuan kesihatan kerana didapati tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata
pihaknya memandang serius pengiklanan makanan yang mengelirukan orang
ramai dengan pelbagai akuan kesihatan.
Beliau berkata Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di
bawah Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa air minuman berbungkus yang
dijual perlu dilesenkan terlebih dahulu oleh Kementerian Kesihatan.
“Kementerian mengambil maklum laporan mengenai penjualan air Kangen
yang telah menjadi perbincangan hangat netizen dan telah viral di media
sosial,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Katanya kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan
dan jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM5,000 atau
dipenjara tidak melebihi dua tahun, serta air minuman berbungkus tidak
berlesen yang dijual boleh rampas.
Di samping itu, katanya, Seksyen 17 Akta Makanan 1983 menetapkan
bahawa iklan sesuatu makanan tidak boleh mempunyai sebarang akuan
kesihatan.
“Kegagalan mematuhi seksyen tersebut adalah satu kesalahan dan jika
disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun
atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan mengenai
penjualan/pengiklanan air Kangen atau mana-mana produk makanan/minuman
lain yang diragui akuannya boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri
atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
Selain itu, mereka juga boleh melayari laman web
http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan
Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.
– Bernama
No comments:
Post a Comment