Sekiranya Najib dan kabinet gagal laksanakan
ketiga-tiga perkara dikemukakan sehinggan 29 Julai, PH akan gerakkan
rakyat dalam satu tindakan politik.
PETALING JAYA : Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini
mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan susulan tindakan
undang-undang yang dipohon Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ)
semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama, mereka menuntut Datuk Seri
Najib Razak mengambil cuti daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri
dengan kadar segera kerana wujudnya persepsi beliau mempunyai kuasa dan
pengaruh ke atas agensi utama kerajaan antaranya pejabat Peguam Negara,
polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tuntutan kedua adalah supaya kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong
menitahkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja terdiri daripada
individu-individu yang tidak mempunyai kaitan dengan mereka yang didakwa
terlibat dalam isu itu.
Mereka juga menuntut sidang Parlimen tergempar dipanggil segera
supaya Najib boleh memberi penjelasan sepenuhnya mengenai isu ini kepada
ahli-ahli Parlimen.
“Sekiranya beliau dan kabinet gagal melaksanakan ketiga-tiga perkara
di atas sehingga Jumaat 29 Julai, maka Pakatan Harapan akan bersama
menggerakkan rakyat dalam satu tindakan politik pada Sabtu, 30hb Julai
2016 sebagai tanda protes terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib,” kata
mereka menerusi kenyataan.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Wan
Azizah Wan Ismail, pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden
Amanah Mohamad Sabu.
Semalam, DoJ memfailkan saman yang menyiasat dakwaan lebih AS3.5 bilion (RM14.17 bilion) dilesapkan daripada 1MDB.
Dalam saman yang difaikan di Los Angeles itu, DoJ berkata mereka mahu
merampas aset-aset yang “terbabit dalam atau boleh dikesan kepada suatu
konspirasi untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.
Najib ada polis dan tentera PH ada apa
ReplyDelete