Malaysiakini 4/7/16
Naib presiden Umno yang digantung keahliannya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan keluar daripada parti itu.
Beliau yang juga adalah ahli parlimen Semporna berkata, keputusan itu
dibuat berikutan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggantung
keahliannya pada 24 Jun lalu.
"Perjuangan kita akan diteruskan di bumi Sabah ini. Perjuangan kita
akan diteruskan di Sabah dan di Semenanjung untuk membela bangsa dan
negara.
"Saya mohon ampun dan maaf sekiranya ada kesilapan saya, salah laku saya selama saya memimpin Umno ini," katanya.
Keputusan itu diumumkan di hadapan ribuan penyokongnya di dewan di
perkarangan rumahnya di Kampung Bubul Lama, Semporna Sabah, hari ini.
Ini kali pertama beliau kembali ke Semporna sejak digantung keahlian Umno selepas pulang daripada menunaikan ibadat umrah.
"Saya dah fikir panjang, tuan-tuan nak saya letak jawatan. Selama ini saya bertahan, bersabar.
"Jadi saya berhenti serta-merta. Saya sayang Umno, tapi jangan hina saya, jangan zalimi saya dalam Umno," katanya.
MT juga sebulat suara memutuskan timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
dipecat daripada parti.
Shafie pula digantung keanggotaannya sehingga MT menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.
Berikutan keputusan itu, pada 27 Jun lalu, naib ketua Umno Bahagian
Semporna, Datuk Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti bersama tiga
ketua sayap dan 300 ketua cawangan.
Julai tahun lalu, Shafie dilucutkan sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.
Ditanya sama ada beliau akan menubuhkan parti baru bagi meneruskan
perjuangan politiknya, Mohd Shafie berkata beliau belum lagi memikirkan
tentang perkara itu.
No comments:
Post a Comment