Thursday, July 21, 2016

Tak sempat cetak, alasan NST tidak siar berita AS sita aset 1MDB

FMT| July 21, 2016
NSTP berkata berita itu diterima lewat malam semalam dan oleh itu tidak dapat diterbitkan kerana akhbar sudah mula dicetak.
nstp-1
PETALING JAYA: Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) hari ini berkata pihaknya tidak sempat memuatkan berita Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mahu menyita aset berkaitan 1MDB kerana mendakwa berita itu diterima selepas akhbar itu dicetak.

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, menjelaskan kepada FMT, pihaknya menerima bahan berita tersebut lewat tengah malam dan semua berita pada waktu itu sudah dicetak untuk diedarkan awal pagi ini.
Jalil bagaimanapun berkata pihaknya tetap melaporkan berita tersebut menerusi versi Internet Berita Harian Online dan NST Online.

“Dalam paper (media cetak) tidak ada, sebab semalam (berita itu) lambat sampai dari Amerika Syarikat. Jam 11.30 malam dapat mana sempat (cetak),” katanya, dan menambah berita itu akan dikeluarkan dalam edisi esok.
Tinjauan FMT bagaimanapun mendapati berita itu sudah dimuat naik Reuters seawal 8.50 malam, manakala AFP melaporkannya pada 10.34 malam.

Semalam, pelbagai media dan agensi berita antarabangsa melaporkan secara meluas berita Jabatan Kehakiman AS menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion).

Bagaimanapun, kesemua akhbar utama berbahasa Melayu dan Inggeris hari ini didapati langsung tidak memuatkan laporan itu.
Sebaliknya, muka depan NST hari ini memuatkan berita langkah mewajibkan vaksinasi, manakala Malay Mail, The Star dan Utusan Malaysia kesemuanya memainkan berita spekulasi pilihan raya mengejut Pulau Pinang yang tidak menjadi.

Satu-satunya akhbar yang melaporkan berita itu ialah akhbar berbahasa Cina, China Press, itu pun di muka lima.

1 comment: