Tuesday, July 12, 2016

'Tak wajar Apandi muncul di mahkamah dalam kes Lim' : NGO Lawyers for Liberty

11/7/16

Penampilan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai pendakwa utama dalam kes tuduhan rasuah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah tidak wajar dan boleh memberikan kesan, kata NGO Lawyers for Liberty.

Ketua Eksekutifnya, Eric Paulsen berkata demikian kerana Apandi adalah bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan kes itu dibicara di Mahkamah Tinggi.

"Sebagai bekas hakim mahkamah tertinggi, kemunculannya sebagai pendakwa dalam kes ini boleh menjejaskan prosiding kerana hakim Mahkamah Tinggi mungkin merasa dipaksa untuk tunduk kepada beliau kerana beliau mempunyai kekananan dan pengalaman yang lebih semasa berkhidmat dalam badan kehakiman.

"Terdapat juga keadaan di mana Apandi akan bergantung kepada keputusan yang dibuat olehnya, dan mengemukakan bahawa mahkamah adalah terikat untuk mematuhi keputusan tersebut, demikian selanjutnya akan menyebabkan rasa malu," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, beliau berkata, Apandi perlu menarik diri sebagai pendakwa.

"Memandangkan semua kontroversi ini, kami menyeru peguam negara untuk menarik diri sebagai pendakwa utama untuk perbicaraan Lim Guan Eng dan sebaliknya berusaha ke arah mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap peranan yang sah pendakwa raya, sesuatu yang bermaruah, adil dan bebas daripada campur tangan politik," katanya.

Pada 30 Jun, Lim menghadapi dua tuduhan rasuah iaitu pengezonan semula sebidang tanah di Balik Pulau daripada tanah pertanian kepada tujuan kediaman untuk memberi manfaat kepada syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd.

Beliau juga didakwa membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn berharga RM2.8 juta yang didakwa di bawah nilai pasaran, daripada ahli perniagaan Phang Li Koon.

No comments:

Post a Comment