Wednesday, August 17, 2016

4 bulan AAM tak bayar gaji, pekerja ditarik kereta, dihalau rumah

 FMT| August 16, 2016
Selepas 84 tahun beroperasi, AAM kini tidak mampu membayar gaji pekerja dan hampir setahun tidak membayar caruman KWSP.
VIDEO INSIDE
AAM
SHAH ALAM: Persatuan Automobil Malaysia (AAM), penyedia perkhidmatan penyelenggaraan kereta di seluruh negara yang beroperasi sejak 1932, dijangka gulung tikar.

Ini susulan syarikat itu berdepan krisis ekonomi apabila tidak mampu membayar gaji kepada 300 pekerja sejak empat bulan lalu manakala sudah hampir setahun tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

AAM bukan syarikat kecil dan pernah gemilang di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah ia diiktiraf sebagai pihak berkuasa permotoran yang bertindak sebagai jurucakap rasmi bagi pemilik kenderaan bermotor Malaysia dan memperjuangkan hak penggunaan selamat di jalan raya.

Pekerja AAM, Mohamad Tajuddin Jailani, 48, berkata tindakan kejam AAM yang tidak membayar gaji kakitangan menyebabkan kehidupan mereka terjejas teruk.
Katanya, ada pekerja yang berdepan dengan kereta ditarik bank, dihalau dari rumah kerana tidak ada wang untuk membayar sewa bulanan.

“Sepanjang empat bulan kami tak dibayar gaji, kami terpaksa guna duit tabung simpanan untuk sara kehidupan keluarga, dan duit itu sudah habis. Kami tidak tahu macam mana nak sara keluarga.
“Ada antara kami kena tarik kereta dan yang sampai kena halau dari rumah sewa pun ada sebab gaji tak dapat dan hendak bayar sewa kereta dan rumah pun tidak boleh.

“Keadaan kami sangat kritikal ketika ini, ada yang bekerja di stesen minyak dan pasar raya besar,” katanya ketika ditemui bersama 100 pekerja lain yang membuat tuntutan di depan pejabat AAM di Shah Alam hari ini.
Turut menyertai perhimpunan itu ialah Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Saiful Sallehuddin, 43, yang berkhidmat bersama AAM selama 18 tahun turut melahirkan rasa kecewanya apabila sudah hampir setahun KWSP mereka tidak dibayar.
“Kedudukan AAM semakin parah, kami dapat bonus pada 2000, dan kami tidak diberikan cuti pada Hari raya. Gaji saya hanya RM1,200 sebulan, malah lebih menyedihkan apabila gaji kami tak dibayar selama empat bulan tanpa sebab,” kata Zaini Abu Samah.

Kesedihan turut disuarakan Mimi Nur Fahariah Majid, 32, apabila sepanjang sembilan tahun bekerja di AAM, tahun ini dia terpaksa beraya di perantauan kerana tidak ada wang untuk pulang ke kampung.

“AAM bagi kami gaji RM500 sebelum raya, separuh daripada gaji kami, tapi jumlah itu tidak cukup. Kami minta penjelasan pengurusan kenapa gaji tak dapat hampir empat bulan, mereka kata dalam masa tiga bulan ini semua tunggakan selesai.
“Tetapi janji tinggal janji sampai sekarang kami tak dapat apa pun,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PSM A. Sivarajan berkata pihaknya mendesak Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia campur tangan dalam krisis yang berlaku.

“Kementerian dan Jabatan Tenaga Kerja perlu menyiasat perkara ini dan jika AAM ini mengalami masalah kewangan maka aset mereka perlu dicairkan dan duit yang diperoleh dibayar kepada pekerja.
“Kira-kira 300 pekerja tidak dibayar gaji selama empat bulan, dan setakat ini sudah empat daripada 16 cawangan AAM ditutup iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sungai Petani,” katanya.

Katanya, jika AAM masih berdegil dan gagal menjelaskan gaji tertunggak, pihaknya akan mengambil tindakan seterusnya untuk memfailkan tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja dan jika perlu ke mahkamah.

Setelah hampir 2 jam berkumpul di pejabat AAM, cubaan pihak media dan pekerja mendapat penjelasan pihak pengurusan syarikat tidak berjaya.

Bagaimanapun, salah seorang pegawai AAM memberitahu pengurusan tertinggi syarikat mengeluarkan kenyataan segala tunggakan gaji akan diselesaikan pada 18 Ogos dan 16 September ini.

No comments:

Post a Comment