Wednesday, August 17, 2016

Ada lapan lagi bom, polis nasihat elakkan pusat hiburan

Malaysiakini 16 Ogos 16


Sebutir grenad atau bom tangan diletupkan dalam satu serangan ke atas sebuah kelab malam di Puchong pada bulan Jun lalu, manakala polis menemui sebutir lagi di Johor.

Walau bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Maidin Pitchay berkata laporan perisikan menunjukkan bahawa pengganas di Malaysia mungkin masih memiliki lapan lagi bom tangan seumpama itu.
"Kita masih ada lapan lagi (bom) di luar sana.

"Ini bom tangan yang sangat lama - (ia) model 1967 - tetapi masih boleh membunuh. Nasihat saya untuk mereka yang suka ke pusat hiburan adalah hentikannya," katanya kepada Channel News Asia.
Ayob berkata serangan ke atas kelab malam Movida menimbulkan kebimbangan, kerana ia adalah kes pertama di mana anggota IS Malaysia yang berpangkalan di Syria dari jauh boleh melancarkan operasi di negara ini.

"Sebelum ini, penilaian kami adalah bahawa mereka tidak mempunyai kepakaran untuk memasang (peranti letupan) IED kerana mereka bukannya terlatih,
"Tetapi dengan pengeboman Movida, adalah jelas mereka mempunyai hubungan dan keupayaan untuk mendapatkan senjata dari negara-negara jiran dan itu adalah kebimbangan utama kami sekarang," katanya.

Ayob juga mendedahkan bahawa pengganas mungkin merancang lebih banyak serangan ke atas pejabat-pejabat kerajaan, pusat hiburan dan kem tentera dan ibu pejabat polis.

Pihak polis percaya serangan ke atas Movida, yang menyebabkan lapan orang cedera, dilaksanakan atas arahan Mohd Wanndy Mohd Jedi - seorang ahli IS rakyat Malaysia yang beroperasi di Syria.
Mohd Wanddy dipercayai telah menubuhkan beberapa sel-sel pengganas di Malaysia

No comments:

Post a Comment