Jika mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat
sebagai perdana menteri pada 2013, rakyat akan terlepas daripada
kesengsaraan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
sekarang, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.
Menurutnya, jika perubahaan itu berlaku, penderitaan akibat skandal
1MDB tidak akan berlarutan, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika tidak akan
memfailkan tuntutan mahkamah yang menghina reputasi negara di peringkat
antarabangsa dan Malaysia dilabel sebagai negara kleptokrasi.
"Jika pilihan raya umum 2013 berlaku secara adil, demokrasi dan boleh
dipercayai, Anwar akan menjadi PM dan bukannya Najib dan negara akan
terlepas dari kesengsaraan skandal 1MDB berlarutan.
"Tidak
akan ada tindakan saman DOJ untuk merampas aset AS$1 bilion berkaitan
1MDB di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland. Tidak ada wang
yang dicuri dari dana AS$3.5 bilion 1MDB yang dimiliki oleh rakyat
Malaysia, dan tiada misteri 'Malaysian Official 1'.
"Lebih penting, Malaysia akan terlepas daripada penghinaan dan
cemuhan serta azab dilabelkan sebagai kleptokrasi global - dikeji dan
menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa," kata Lim.
Bercakap pada majlis sambutan ulang tahun ke-69 Anwar yang dianjurkan
oleh keluarga dan penyokongnya di luar penjara Sungai Buloh malam
semalam, ahli politik veteran itu menyelar Najib kerana mendakwa bahawa
Malaysia bukan sebuah negara yang gagal di bawah pentadbirannya.
"Soalan ini telah dijawab oleh bekas TPM (Tun) Musa Hitam pada majlis
pelancaran buku barunya, “Frankly Speaking” di Kuala Lumpur, yang
berkata Malaysia sedang merosot dan mungkin berakhir seperti Filipina
sebelum ini.
"Musa berkata sejak kerajaan berhadapan dengan skandal-skandal mega,
perkara-perkara lain, seperti kejadian tembakan pada siang hari, tidak
ditangani dengan baik.
Katanya, rakyat kini biasa dengan situasi itu dan seperti berlaku di
Filipina pada zaman lalu apabila rakyatnya membawa senjata untuk
mempertahankan diri.
Lim juga memetik Musa yang berkata “ini adalah kebiasaan terbaru di Malaysia.”
Malaysiakini 11/8/16
No comments:
Post a Comment