Thursday, August 11, 2016

Andainya Anwar jadi PM : LKS

Jika mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri pada 2013, rakyat akan terlepas daripada kesengsaraan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, jika perubahaan itu berlaku, penderitaan akibat skandal 1MDB tidak akan berlarutan, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika tidak akan memfailkan tuntutan mahkamah yang menghina reputasi negara di peringkat antarabangsa dan Malaysia dilabel sebagai negara kleptokrasi.

"Jika pilihan raya umum 2013 berlaku secara adil, demokrasi dan boleh dipercayai, Anwar akan menjadi PM dan bukannya Najib dan negara akan terlepas dari kesengsaraan skandal 1MDB berlarutan.

"Tidak akan ada tindakan saman DOJ untuk merampas aset AS$1 bilion berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland. Tidak ada wang yang dicuri dari dana AS$3.5 bilion 1MDB yang dimiliki oleh rakyat Malaysia, dan tiada misteri 'Malaysian Official 1'.

"Lebih penting, Malaysia akan terlepas daripada penghinaan dan cemuhan serta azab dilabelkan sebagai kleptokrasi global - dikeji dan menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa," kata Lim.
Bercakap pada majlis sambutan ulang tahun ke-69 Anwar yang dianjurkan oleh keluarga dan penyokongnya di luar penjara Sungai Buloh malam semalam, ahli politik veteran itu menyelar Najib kerana mendakwa bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang gagal di bawah pentadbirannya.

"Soalan ini telah dijawab oleh bekas TPM (Tun) Musa Hitam pada majlis pelancaran buku barunya, “Frankly Speaking” di Kuala Lumpur, yang berkata Malaysia sedang merosot dan mungkin berakhir seperti Filipina sebelum ini.

"Musa berkata sejak kerajaan berhadapan dengan skandal-skandal mega, perkara-perkara lain, seperti kejadian tembakan pada siang hari, tidak ditangani dengan baik.
Katanya, rakyat kini biasa dengan situasi itu dan seperti berlaku di Filipina pada zaman lalu apabila rakyatnya membawa senjata untuk mempertahankan diri.

Lim juga memetik Musa yang berkata “ini adalah kebiasaan terbaru di Malaysia.”
Malaysiakini 11/8/16

No comments:

Post a Comment