Saturday, August 6, 2016

Bung Moktar beri amaran, parti baharu Dr M mampu ‘celakakan’ Umno

 FMT| August 6, 2016
Ahli Parlimen Kinabatangan itu akui, walaupun Umno sebuah parti tertua namun ia tidak memberi jaminan kepada parti Melayu itu kekal memerintah.
Bung Moktar Radin
PETALING JAYA: Parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad mampu ‘mencelakakan’ Umno jika penubuhan parti itu dianggap remeh oleh ahli dan kepimpinan Umno.
Kebimbangan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin yang senada dengan kenyataan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bahawa parti baharu Dr Mahathir mampu bertahan lama dan bergerak jauh.

“Parti baharu Tun Mahathir tidak boleh dianggap enting (remeh) atau seolah ia hanya parti serpihan dan tidak mendatangkan apa-apa ancaman kepada Umno. Inilah masanya untuk Umno fokus ke arah memperkuatkan parti supaya beri keyakinan kepada ahli dan rakyatnya.

“Kalau ahli Umno leka, maka kesilapan besar akan berlaku dan Umno bakal ‘dicelakakan’ oleh parti pembangkang,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mengakui, status parti tertua tidak akan memberi jaminan kepada Umno, parti Melayu itu untuk kekal memerintah.

“Walaupun Umno sebuah parti yang berjaya tetapi sejarah tidak akan membantu Umno untuk terus kekal sebagai pemerintah, kecuali Umno sendiri melibat gandakan usaha ke arah itu,” katanya.
Terdahulu kebimbangan sama disuarakan Khairy apabila mengingatkan pemuda Umno supaya tidak mengambil mudah penubuhan parti baharu Dr Mahathir dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.

Katanya, adalah terlalu angkuh untuk menganggap sedemikian kerana parti baharu itu ditunjangi nama-nama besar seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selain Dr Mahathir sendiri.

No comments:

Post a Comment