Saturday, August 27, 2016

Chong Wei: Jika ada RM300 juta, saya henti main badminton


Pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei menafikan laporan yang mendakwa kekayaan dirinya mencecah RM300 juta.
"Jika ada RM300 juta, saya fikir saya sudah berhenti bermain badminton.
"Saya tidak perlu kerja (lagi) dan akan hanya tinggal di rumah," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya.

Lee, yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio, berkata beliau tidak yakin jika ada ahli sukan Malaysia yang mampu mendapat jumlah seperti itu.
“Sukan Malaysia adalah berbeza berbanding dengan bola sepak di negara-negara lain, begitu juga dengan golf dan tenis," katanya.

Mengulas laporan itu yang tersebar di media sosial, Lee berkata ia adalah perkara biasa bagi pengguna Facebook dan Twitter untuk berbuat demikian.
"Saya tidak boleh halang orang ramai daripada bercakap," katanya.
Hadir sama pada majlis penyerahan ganjaran wang tunai berjumlah RM265,000 oleh XOX Mobile itu adalah empat pemenang pingat perak, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.

Semalam, Sinar Harian memetik portal thecelebritiesnetworth.com yang melaporkan aset Lee bernilai RM300 juta berdasarkan hadiah kemenangan, sektor perniagaan, duta kepada puluhan produk di peringkat antarabangsa dan tempatan, hartanah dan koleksi kereta mewah yang dimilikinya.

Akhbar itu juga berkata Lee memiliki banyak kenderaan mewah seperti Skyline R35 GTR, BMW X6 Coupe, Ferrari F430, Lamborghini Aviator, Audi R8 dan Bentley Continental GT1, dengan harga semua kereta ini bernilai jutaan ringgit setiap sebuah.
Selain itu, Sinar Harian juga melaporkan satu lagi barangan yang digemari Lee adalah jam tangan mewah yang dibelinya dan disimpan dalam tiga kotak besar.

Laporan itu disiarkan sehari selepas Lee dan pasukan Olimpik Malaysia pulang dari Rio dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tambahan RM200,000 bagi pemenang pingat, menjadikan jumlah keseluruhan bagi mereka yang meraih perak kepada RM500,000.

No comments:

Post a Comment