Thursday, August 4, 2016

DAP dakwa SPR tiba-tiba pindahkan lebih 30,000 pengundi

Malaysiakini 4/8/16

DAP Perak hari ini mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat perubahan pusat mengundi melibatkan 30,173 pemilih berdaftar di negeri itu secara tiba-tiba tanpa pengetahuan mereka atau pemberitahuan terlebih dahulu.
"SPR mesti menjelaskan mengapa ini dilakukan tanpa pengetahuan para pengundi ini dalam masa tujuh hari," ujar Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming, hari ini.

Perkara itu terbongkar selepas suruhanjaya berkenaan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 2/2016 di seluruh negara yang menyaksikan pemindahan besar-besaran pengundi dari pusat pengundian asal tanpa pemberitahuan terlebih dahulu.
Baru-baru ini, SPR mempamerkan RDPT bagi Suku Tahun 2/2016 selama 14 hari sehingga 15 Ogos di 963 tempat di seluruh negara, memetik laporan Bernama.

SPR dalam kenyataan berkata, suruhanjaya itu telah menerima sebanyak 115,682 permohonan pendaftaran sebagai pemilih terdiri daripada 93,530 pemilih baharu dan 22,152 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

"Pemohon yang mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi dalam tempoh tarikh 1 April hingga 30 Jun lepas dinasihatkan menyemak RDPT Suku Tahun 2/2016.
"Bagi permohonan pendaftaran baharu yang tidak tersenarai, pemohon boleh membuat tuntutan menggunakan Borang B kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan berkenaan," menurut kenyataan itu.

SPR berkata pemilih berdaftar yang ingin melakukan bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu dalam RDPT Suku Tahun 2/2016 juga boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
Mengulas lanjut, Nga mendakwa, Perak mendahului senarai negeri-negeri yang mempunyai pemindahan pengundi tertinggi ke kawasan mengundi yang baru dengan melibatkan seramai 30,173 pengundi.

"Pemindahan pengundi berkenaan akan memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen.
"Apa yang benar-benar mengejutkan ialah tidak ada seorangpun pengundi yang dipindahkan menerima pemberitahuan pusat mengundi mereka diubah.
"Sepuluh daripada kerusi Dewan Undangan Negeri yang terlibat adalah kerusi marginal," dakwa Nga lagi.

No comments:

Post a Comment