FMT mengesan empat ahli politik pembangkang yang pernah menunggangi gelombang politik negara, tetapi kini tercicir.
PETALING JAYA: Menceburi bidang politik tiada had umur. Ada yang
bermula bila mencecah usia 40-an, tetapi meninggalkan kesan mendalam
walaupun cuma beberapa tahun di pesada politik.
Ia juga tidak ada umur persaraan. Kadang-kadang, secara rasminya
bersara atau dipaksa bersara, namun nama mereka sentiasa muncul dan
dikaitkan dalam pelbagai permainan politik. Contoh terbaik ialah Tun Dr
Mahathir Mohamad yang bersara pada 2003, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,
yang sekali lagi dipenjarakan menyebabkan kehilangan jawatan ketua
pembangkang.
Tetapi ada juga yang muncul buat seketika, menunggangi gelombang politik, hanya untuk tercicir sehingga tidak kedengaran lagi.
Di mana mereka sekarang? FMT cuba mengesan beberapa watak politik
yang sebelum ini memenuhi ruang media, tetapi kini seakan hilang terus.
Gobalakrishnan dan ladang tomato
Sekiranya ada ensiklopedia mengenai era reformasi pada 1990-an dulu,
nama N. Gobalakrishnan pasti mendapat catatan. Bekas ahli politik MIC
ini muncul lewat 1998, dan bergerak aktif dalam PKR sebelum memenangi
kerusi Parlimen Padang Serai pada PRU 2008.
Pernah menjadi naib presiden PKR, Gobala membuat pengumuman keluar
parti pada 29 Januari 2011 atas alasan “bosan” dengan Anwar dan Timbalan
Presiden Datuk Seri Azmin Ali yang didakwanya mengawal 100% parti itu.
Ketika dihubungi FMT, Gobalakrishnan memaklumkan yang beliau kini
terlibat dalam bidang pertanian, dan memiliki 6 ekar ladang tomato di
Cameron Highlands yang hasilnya turut dipasarkan ke Singapura.
“Ini adalah perniagaan yang mendatangkan pulangan yang baik. Di sini
ada 50 ekar tanah yang boleh diusahakan, tetapi masih belum ada pelabur
yang dapat membantu saya,” katanya yang berulang-alik setiap minggu dari
tempat tinggalnya di Kulim, Kedah.
Bagi beliau, pembangkang berpecah kerana tidak ikhlas dalam perjuangan.
“Keadaan akan jadi lebih baik jika Anwar di luar (penjara). Beliau
dan Najib patut bekerjasama, negara perlukan mereka,” katanya, yang
masih menaruh harapan kepada Anwar.
Menurut Gobala, Anwar mampu menangani ancaman IS kerana pengaruhnya di kalangan pemimpin Islam dunia yang lain.
Hasan Ali bersama tabligh
Penceramah agama dan motivasi sepanjang era 90-an ini mula lebih terkenal selepas menyertai PAS pada zaman reformasi 1998.
Kini, Datuk Hasan Mohamed Ali kembali menumpukan perhatian kepada
perniagaan, empat tahun selepas beliau dipecat oleh PAS kerana tidak
mematuhi dasar parti.
Jawatan politik terakhir beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Gombak Setia, dan disebut-sebut menjadi menteri besar Selangor
sekiranya Pakatan Rakyat merampas negeri itu daripada BN pada pilihan
raya 2008. Bagaimanapun, ia tidak menjadi, dan Hasan dilantik exco agama
sehinggalah pemecatan beliau.
Beliau juga kini giat dengan kumpulan dakwah Jemaah Tabligh, yang
menurutnya ditinggalkan sementara ketika terlibat aktif dalam politik.
“Ia sesuatu yang saya lakukan 25 tahun lalu. Ia terhenti sekejap
kerana sibuk dengan politik, maka sekarang saya perbaharui semula.
“Saya tidak rindukan politik, dan tidak fikir akan kembali (bergiat aktif),” katanya kepada FMT.
Zulkifli Noordin
Siapa yang dapat melupakan gambar Datuk Zulkifli Noordin dicium
seorang pemuda India berbaju Barisan Nasional ketika hari pencalonan PRU
2013.
Zulkifli ketika itu dilantik Najib bagi melawan “musuhnya” Khalid Samad, penyandang kerusi Parlimen Shah Alam.
Tidak lama sebelum itu, beliau mengundang kontroversi apabila rakaman ceramahnya menghina agama Hindu tersebar secara meluas.
Peguam syariah ini pernah menyertai panel peguambela Anwar ketika dipecat dahulu.
Beliau juga aktif terlibat dalam melawan kes murtad, dan ketika masih
berada dalam PKR mengundang kontroversi kerana pendiriannya yang tidak
selari dengan polisi parti pelbagai kaum itu.
Pada 2010, Zulkifli dipecat selepas pertelingkahan terbuka dengan Khalid dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Namun, beliau masih cuba menampilkan dirinya dalam politik semasa
dengan komen menyindir pembangkang dan memuji pentadbiran Najib.
Ezam Mohd Nor
Beliau barangkali antara ahli politik paling menonjol ketika zaman reformasi.
Ezam, salah seorang pengasas PKR, ibarat bintang yang kehabisan sinar sebelum waktunya.
Beliau dan Azmin merupakan tokoh paling rapat dengan Anwar, malah Ezam menggalas jolokan “klon Anwar” dengan bangga.
Ada banyak cakap-cakap di sebalik keluarnya Ezam daripada lingkungan
pembangkang, namun sebab rasmi yang direkodkan adalah perjuangannya
tidak lagi sehaluan dengan Anwar dan Azmin. Beliau dilantik senator
sejurus selepas kembali kepada Umno.
“Ezam Kotak”, begitulah jolokan terhadap beliau kerana mendakwa
memiliki 6 kotak menyimpan dokumen salah laku pemimpin negara. Beliau
kemudian menafikan perkara itu dan berkata ia berada dalam simpanan
Anwar.
April lalu, Ezam menafikan khabar angin yang beliau akan menyertai
semula PKR. Kini menetap di Indonesia untuk menumpukan perhatiannya
dengan NGO Hisbah Centre for Reform.
Beliau juga masih mengulas isu politik. Antaranya, beliau mengkritik
penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menutup laporan akhir siasatan
Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.
No comments:
Post a Comment