Tuesday, August 23, 2016

Gara-gara nyanyi luar penjara, polis siasat ADUN Semambu

22/8/16

Gara-gara mempersembahkan sebuah lagu di luar penjara Sungai Buloh sempena hari jadi bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal bulan ini, ADUN Semambu, Lee Chean Chung mendakwa dirinya kini berdepan dengan masalah.


Katanya, beliau telah diarahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh supaya menghadirkan diri pada 24 Ogos ini kerana didakwa "menyertai satu himpunan" dan mempersoalkan sama ada bernyanyi adalah suatu kesalahan.

“Saya diminta untuk melaporkan diri sebelum 24 Ogos. Saya akan menghubungi peguam sebelum membuat keputusan selanjut.
“Bukan sahaja bersuara, sekarang bernyanyi turut menjadi masalah. Apa sudah terjadi dengan negara ini?” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 10 Ogos lalu, eluarga dan penyokong Anwar berkumpul di luar pintu penjara untuk meraikan hari jadi ketua umum PKR itu.

Ia juga sempena memperingati 548 hari Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun. Beliau dan penyokongnya mendakwa tuduhan berkenaan bermotifkan politik.

Lee berkata semasa sambutan itu, beliau mendendangkan sebuah lagu dalam bahasa Cina yang bertajuk 'Zaman Gemilang'.
Lagu itu asalnya diterbitkan oleh kumpulan band Hong Kong 'Beyond' pada tahun 1991 untuk meraikan pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela dan kumpulan pejuang anti-apartheid.

Selepas 27 tahun dipenjara, Mandela dibebaskan kira-kira setahun sebelum lagu itu membuat kemunculan sulungnya.
 

No comments:

Post a Comment