Gelaran 'Dato' yang pernah dikurniakan Almarhum Sultan Iskandar akan ditarik balik sekiranya tidak hadir Hari Hol.
MERSING: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran
untuk menarik balik darjah kebesaran Dato’ yang dikurniakan ayahanda
baginda, sekiranya individu yang menerima gelaran itu gagal menghadiri
Hari Hol, setiap tahun.
Baginda bertitah amaran itu dikeluarkan berikutan terdapat segelintir
daripada penerima darjah tersebut tidak menghadiri Hari Hol sebelum
ini, biarpun ia diisytiharkan cuti umum di Johor sebagai memperingati
kemangkatan Sultan Iskandar.
Baginda bertitah ketidakhadiran sesetengah penerima darjah itu
melambangkan mereka tidak sanggup berkorban masa untuk memperingati
ayahanda baginda dan tidak berminat untuk terus menjunjung kurniaan
darjah tersebut.
Oleh itu, baginda bertitah adalah lebih baik jika darjah yang
diterima dikorban atau dipulangkan secara hormat sebagaimana mereka
menerimanya dahulu.
“Jika tidak, saya akan mengumumkan nama-nama penerima yang darjahnya
ditarik balik, tidak kira sama ada penerima itu seorang menteri, jeneral
atau bekas jeneral.
“Tindakan akan diambil kepada semua penerima yang gagal hadir,” titah
baginda bersempena Hari Ulang Tahun Ke-51 Rejimen Gerak Khas di Kem
Iskandar di sini hari ini.
Turut berangkat hadir pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku
Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor Tunku Idris; Tunku
Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu
Bakar.
Hari Hol yang disambut pada 6 Safar setiap tahun kebiasaannya
meliputi majlis tahlil dan istiadat ziarah makam Almarhum Sultan
Iskandar
No comments:
Post a Comment