SHAH ALAM - Parti baru yang bakal dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak sekuat Umno namun ia
mampu melemahkan parti Melayu itu dengan menarik sebahagian pimpinan
cawangan selepas ini.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara
Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, pengundi muda yang terdedah
dengan dunia siber sebahagian besarnya mula hilang sokongan pada Umno
khususnya di kawasan bandar.
“Kedudukan Umno jelas kurang popular di kalangan pengundi muda mungkin
menjadi penyebab utama mengapa Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin
memberikan peringatan kepada ahli pemuda.
“Ini menunjukkan bahawa Khairy seorang pemimpin peka di mana Umno
sedang berdepan defisit sokongan dan semua pihak tidak harus mengabaikan
apa sahaja bahaya yang mungkin wujud,” katanya kepada Sinar Online.
Sebelum ini, Khairy mengingatkan Pemuda Umno supaya tidak mengambil
mudah penubuhan parti baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan
beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan anggap parti kecil tak bertahan']
Dalam pada itu, Md Shukri berkata, golongan berpendidikan tinggi serta
profesional juga dilihat semakin jauh dari Umno malah gejala peminggiran
oleh generasi muda amat merbahaya kepada pergerakan pemuda sebagai
benteng pelapis parti berkenaan.
“Kewujudan lebih ramai pemuda yang tidak berparti adalah petanda bahawa
kekuatan Umno bila-bila masa boleh tergugat jika langkah proaktif
membina kesetiaan ahli tidak tercapai.
“Beberapa buah negeri yang dikuasai Umno mungkin akan terlepas kepada
pembangkang jika gesaan Khairy tidak diambil peduli,” katanya.
Tambahnya, Umno tidak seharusnya mengambil kira soal kerusi di Dewan
Rakyat namun perlu memberikan perhatian serius kepada pergerakan akar
umbi.
“Lompat parti secara tidak rasmi oleh ahli Umno kepada parti baharu
boleh mengganggu jentera dan kekuatan di cawangan serta Pusat Daerah
Mengundi (PDM),” katanya.
No comments:
Post a Comment