Saturday, September 10, 2016

RM650 juta bina Taman Tugu tak masuk akal, kata Khalid Ibrahim

 | September 9, 2016
"Lebih-lebih lagi apabila kos tanah langsung tidak wujud, diberi "percuma" oleh kerajaan pusat," kata bekas menteri besar Selangor
Khalid-Ibrahim_tugu_600PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai suara mengkritik cadangan projek Taman Tugu, kerana angka yang diperuntukkan terlalu tinggi.

“Jelas bahawa projek yang dijangka menelan belanja RM650 juta terlalu tinggi dan tidak munasabah hatta setelah diambil kira kos pembinaan infrastruktur dan bangunan seperti dalam perancangan.
“Jadi, tidaklah menghairankan jika ramai yang musykil dengan metodologi penilaian yang digunapakai oleh Khazanah Nasional Berhad dan Perbendaharaan Negara/Unit Perancang Ekonomi sehingga mewajarkan nilai yang begitu tinggi,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan projek Taman Tugu, terletak di tanah seluas 26.7 hektar berhampiran Tugu Negara. Projek bertujuan mengangkat taraf Kuala Lumpur menjadi kotaraya bertaraf dunia.
Khazanah Nasional Berhad akan membiayai 75% (RM500,000) kos projek itu.
Khalid berkata: “…Untuk mendapat gambaran lebih jelas, saya telah menghubungi rakan lama, Dato’ Haji Ali Ahmad yang mempunyai pengalaman luas 30 tahun dalam pembukaan dan pengurusan ladang di Guthrie.”

“Menurut anggaran paling tinggi berdasarkan pengalaman beliau, saya difahamkan bahawa kos pembersihan dan perataan tanah, penanaman dan penjagaan pokok kelapa sawit dari tunas hingga penuaian adalah sekitar RM21 juta setiap 1,000 hektar atau hanya RM21,000 per hektar.”

Justeru, kos keseluruhan pembinaan taman hutan hujan itu tidak sepatutnya semahal yang diumumkan.
“Lebih-lebih lagi apabila kos tanah langsung tidak wujud, diberi “percuma” oleh kerajaan pusat.”

Khalid menggesa pihak berkuasa supaya mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pihak berkepentingan sebelum projek diteruskan.
“Pengalaman pahit dan titik hitam akibat ketirisan, pembaziran dan penyalahgunaan dana awam wajib dijadikan pedoman.
“Kesilapan lalu tidak patut dibenarkan berulang sekiranya kita serius mahu meningkatkan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.”

No comments:

Post a Comment