Friday, October 14, 2016

Pakatan Harapan Perak kemuka 33 bantahan

Sinar Harian
Pakatan Harapan Perak kemuka 33 bantahan
Kor Ming (tengah) bersama pimpinan Pakatan Harapan ketika ditemui di sini, hari ini.
 
IPOH - Pakatan Harapan Perak mengemukakan 33 bantahan terhadap syor persempadanan semula yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum ini.

Pengerusi DAP Perak, Ngar Kor Ming berkata, daripada jumlah berkenaan 20 bantahan dikemukakan DAP, 7 melalui PKR dan 6 daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

"Cadangan persempadanan semula  pilihan raya kali ini melibatkan 122,000 pengundi yang sama ada ditukar kawasan mengundi ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) lain.

"Jumlah besar ini semestinya akan mampu menentukan keputusan PRU14 jika tidak dipantau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di hadapan Pejabat SPR Perak di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Setiausaha PKR Negeri, Mohd Yunus Jamhari.

Menurutnya, selain perkara berkenaan, terdapat 16 Dun dikenalpasti mempunyai jumlah pengundi melebihi beberapa kawasan Parlimen di Perak.
"Sebagai contoh, Dun Manjoi mempunyai bilangan pengundi seramai 50,812 orang dan jumlah berkenaan melebihi jumlah pengundi di Parlimen Padang Rengas iaitu sebanyak 27,790," katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan yang menetapkan semua persempadanan perlu mempunyai jumlah pengundi yang lebih kurang sama.
"Sekarang ini, jika kita lihat Dun Manjoi terdapat 50,812 orang tetapi Dun Tampan serta Trong masing-masing 11, 990 orang dan 12, 987. Jelas di sini, perbezaan yang amat ketara dapat dilihat," katanya.

Katanya, beliau menggesa supaya  SPR memandang serius masalah tersebut memandangkan ia dianggap sebagai pencabulan hak terhadap rakyat untuk memilih kerajaan yang sah.

"Jika tidak, Pakatan Harapan akan membawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi (tindakan undang-undang) supaya sistem demokrasi berparlimen di negara ini dapat dipelihara daripada dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya

No comments:

Post a Comment