Surendran berkata, Azri dijangkiti bakteria sejak
ditahan di penjara pada 10 Ogos lalu, tetapi dia hanya dibawa ke
hospital 5 hari kemudian.
KUALA
LUMPUR: Peguam keluarga Azri Mohamed yang mati dalam penjara menggesa
ketua polis negara menjalankan siasatan ke atas kes itu, susulan
pelbagai keraguan yang timbul selepas bedah siasat ke-2, hari ini.
N Surendran berkata, keputusan penuh bedah siasat belum dikeluarkan,
tetapi pakar forensik memaklumkan Azri mati akibat jangkitan bakteria di
seluruh ususnya sejak ditahan dalam penjara.
“Namun, apa yang menjadi persoalan di sini ialah bagaimana dia boleh
mengalami jangkitan bakteria pada ususnya ketika di dalam penjara? Ini
terdapat kecuaian melampau dalam penjara.
“Ini satu perkara yang serius, sedangkan di penjara sendiri ada
klinik kesihatan mereka. Mengapa mereka ambil masa panjang untuk membawa
Azri ke hospital?
“Jika mereka membawa Azri dengan cepat ke hospital, sudah tentu dia
hidup lagi,” katanya di luar bangunan forensik Hospital Kuala Lumpur.
Semalam, Surendran berkata, bedah siasat ke-2 Azri dijalankan hari
ini, selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan
dikemukakan kakak Azri, Norsyazmira Mohamed yang tidak berpuas hati
dengan laporan bedah siasat pertama menunjukkan kematian mangsa berpunca
daripada jangkitan kuman di bahagian usus.
Azri ditahan di penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada 10 Julai lalu, atas kesalahan kecil memiliki dadah.
Ketika melawat Azri di penjara pada 10 Ogos lalu, Norsyazmira
dilaporkan berkata, adiknya berada dalam kesakitan dan terpaksa dipapah
sebelum boleh berjalan, selain Azri mengadu dipukul di dalam penjara.
Lima hari kemudian, polis memaklumkan ahli keluarga yang Azri
dikejarkan ke Hospital Kota Bharu, di mana usus besarnya terpaksa
dikeluarkan dan dia dilaporkan dalam keadaan koma, sebelum meninggal
dunia pada 14 September lalu.
Sehubungan itu, Surendran mendesak Tan Sri Khalid Abu Bakar menyiasat
pengarah penjara dan pegawai yang menjaga Azri di penjara Pengkalan
Chepa, sementara menunggu keputusan penuh bedah siasat ke-2 yang
mengambil masa sebulan untuk dikeluarkan.
“Kami tidak tahu apa rawatan yang dia terima. Tetapi, apa juga rawatan yang dia terima adalah daripada pihak klinik penjara.
“Kita minta ketua polis negara siasat mereka di bawah Seksyen 340A
Kanun Keseksaan. Ini disebabkan Azri dijangkiti bakteria sejak di dalam
tahanan penjara lagi pada 10 Ogos. Tetapi, dia (hanya) dibawa ke
hospital pada 15 Ogos,” katanya.
FMT
No comments:
Post a Comment