20/11/16
Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek
Razak melahirkan kekesalan berhubung insiden membabitkan Menteri Besar
Pahang dan Umno negeri itu yang langsung tidak menunjukkan kematangan
dalam menghormati tugas wartawan dengan menghalang mereka daripada
membuat liputan konvensyen Umno.
"Ini bukan kali pertama insiden seumpama ini berlaku di negeri itu
namun kali ini keadaannya lebih memalukan kerana membabitkan bukan
sahaja individu yang sama malah turut mengheret parti politik yang
diketuai dan diwakilinya untuk bersama-sama bertindak secara tidak
bertamadun.
"Wartawan bukan insan yang ditugaskan semata-mata untuk menerima
penghinaan seperti ini kerana setiap tugasan yang diberi adalah mengikut
arahan ketua mereka dan jemputan yang diterima daripada penganjur.
"Peliknya Umno Pahang mahu pun setiausaha akhbar menteri besar Pahang
sendiri telah menjemput media untuk membuat liputan Konvensyen Umno
tersebut tetapi kemudiannya bertindak menghalau mereka pula pulang,"
kata Mohd Taufek dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, sekiranya tidak berpuas hati dengan mana-mana akhbar
atau media sekalipun, jangan menjadikan golongan wartawan yang turun
membuat liputan sebagai mangsa melepaskan geram atau rasa tidak puas
hati.
"Ia seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar.
"NUJ secara terbuka menganggap tindakan menteri besar Pahang dan Umno
Pahang menghalau keluar wartawan daripada majlis mereka sebagai
tindakan yang cukup tidak profesional dan membelakangkan prinsip saling
memerlukan antara satu sama lain.
"Jika tidak puas hati dengan akhbar atau media atau editornya,
gunakan saluran perundingan yang lebih bermaruah berbanding menjadikan
wartawan yang hanya menjalankan tugas dan arahan ketua mereka sebagai
mangsa," jelasnya lagi.
Sehubungan itu, NUJ menuntut Menteri Besar Pahang dan Umno Pahang
yang bersikap seperti kebudak-budakan ini supaya mengeluarkan kenyataan
permohonan maaf, tambahnya.
Ini penting bagi menjernihkan kembali keadaan dan hubungan antara
media, kenyataan permohonan maaf bagi menjernihkan kembali keadaan dan
hubungan antara media, menteri besar dan Umno Pahang, ujar beliau.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment