Sunday, November 20, 2016

Kerajaan jangan salah guna Sosma: Tuan Ibrahim

Sinar Harian
Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan penahanan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah tidak betul dan keterlaluan.

Menurutnya, kerajaan pernah memberi jaminan bahawa tidak akan menyalahgunakan undang-undang bagi tujuan politik.

“Kerajaan pernah memberi jaminan bahawa ISA, Sosma dan undang-undang lain tidak akan disalahgunakan oleh kerajaan bagi tujuan politik dan yang tidak ada kena-mengena dengan keselamatan dalam negeri.

“Oleh itu, Pas menggesa pihak berkuasa berlaku adil kepada Maria Chin dan membebaskan beliau segera daripada penahanan di bawah Sosma,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin ditahan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Sosma dan perkara itu disahkan oleh peguamnya semalam.

Tambahnya lagi, beliau meminta agar kerajaan tidak mengulangi kesilapan  yang sama ketika menggunakan Sosma terhadap Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Mathhias Chang kerana melaporkan isu 1MDB serta menegaskan bahawa parti tersebut menentang kezaliman.

“Pas konsisten menentang sebarang bentuk kezaliman dan salah guna kuasa terhadap sesiapa pun,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment