KUALA LUMPUR - Minyak masak bersubsidi di dalam botol berisipadu satu
liter akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini, kata Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah
Zainuddin.
Beliau berkata pengenalan minyak masak itu sebagai usaha kementerian
memberi pilihan kepada pengguna membeli minyak masak bersubsidi dalam
botol atau dalam pek (paket).
Ketika ini bahan itu terdapat hanya dalam bentuk paket.
"Minyak masak dalam botol ini pastinya harga akan lebih mahal daripada dalam pek.
"Kos menyediakan minyak dalam pek kurang daripada 10 sen, manakala
dalam botol melebihi 40 sen. Ini perlu difahami," kata beliau.
"Saya dah berjumpa dengan 'repackers' (pembungkus) pada Rabu. Saya nak
pastikan berapa orang mampu buat ini dan baru saya umumkan
pengeluarannya apabila semua sudah dipersetujui," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Forum Pengguna VI 2016
anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.
Sebelum ini, kementerian berkenaan mengumumkan, mulai 1 November harga
minyak masak di dalam botol dijual mengikut harga ditetapkan oleh
pengeluar manakala harga minyak masak paket satu kilogram kekal pada
RM2.50.
Forum bertemakan 'Gerakkan Kuasa Pengguna' itu dihadiri hampir 1,000
peserta dari seluruh negara yang menampilkan beberapa anggota panel
seperti Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Presiden Transparency
International Malaysia Datuk Akhbar Satar.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian penutup forum tersebut, Hamzah
mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada koperasi kendalian PPIM yang akan
diwujudkan tidak lama lagi.
Hamzah berkata peruntukan itu sebagai tabung modal pusingan koperasi
tersebut yang bertujuan membantu menangani masalah pinjaman kepada
peminjam wang tidak berlesen seperti 'along'.
"Saya dapat aduan ahli-ahli PPIM banyak kena tipu dengan 'along' maka
saya minta mereka tubuhkan koperasi dan melalui koperasi ini saya tak
mahu mereka buat lagi pinjaman dengan 'along' dan mengalami masalah di
masa hadapan," katanya. –Bernama
No comments:
Post a Comment