Wednesday, November 23, 2016

Nafi Timbalan Presiden Pas letak jawatan

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim
KUANTAN - “Ini berita palsu," demikian tegas Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabbar ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bakal keluar daripada parti itu berikutan isu dana RM90 juta dialirkan kepada pemimpin tinggi parti tersebut.

Menurutnya, dakwaan sedemikian adalah untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap Tuan Ibrahim.
“Bagi saya, ini adalah pembohongan semata-mata dan ia sangat tidak masuk akal. Kami baru sahaja bersama dalam retreat Pas Pusat dalam merangka strategi PRU14. Jadi hentikan sebar berita palsu seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, Pas menerusi Tuan Ibrahim berulang kali menafikan penerimaan wang tersebut.
Pada 6 Ogos lalu, Sarawak Report menerbitkan artikel yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merayu Pas agar menjauhi gabungan pembangkang, dengan menyatakan RM90 juta dialirkan kepada pemimpin tertinggi parti itu selama beberapa bulan bagi tujuan tersebut.

Sarawak Report yang berpangkalan di London dikendalikan oleh Claire Rewcasatle-Brown, yang didakwa Najib adalah sebahagian daripada konspirator untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Bagaimanapun, pada 8 Ogos lalu, Tuan Ibrahim mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report kerana mendakwa berita itu palsu dan berniat jahat, selain agenda untuk terus mengaitkannya dengan Umno.
“Tidak pasti apa matlamat fitnah laporan Sarawak Report ini, selain hendak mengaitkan Pas dengan Umno.

“Apa pun, Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan tersebut yang jelas mempunyai niat jahat dan mencemarkan nama baik parti serta dasar Islam yang sememangnya menjadi teras kepada perjuangan Pas,” katanya.

No comments:

Post a Comment