Friday, November 25, 2016

Peguam: Tak perlu RUU Hadi, negeri boleh gubal hukuman syariah sendiri

FMT | November 25, 2016
Haniff berkata, kuasa menggubal undang-undang jenayah terletak pada badan perundangan negeri dan ia termasuk menetapkan had hukuman.
haniff
PETALING JAYA: Badan perundangan Kelantan boleh menggubal undang-undang syariah berkaitan kesalahan jenayah dan hukuman bagi mengawal selia kelakuan umat Islam di negeri itu, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

“Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang persekutuan bukan penghalang kepada negeri untuk memperkenalkan enakmen mengenai pewujudan dan hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan umat Islam terhadap kanun keseksaan Islam,” katanya.

Beliau berkata, rangka kerja undang-undang sudah diubah susulan pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988.
Peguam yang pernah mewakili pihak berkuasa agama dalam konflik undang-undang antara Mahkamah Syariah dan Sivil itu berkata, di bawah pindaan itu, bidang kuasa ke atas mahkamah agama itu terletak pada badan perundangan negeri.

Haniff berkata, Perkara 121 (1A) juga perlu dibaca bersama Perkara 74 yang menyatakan perkara-perkara dalam senarai persekutuan berada di bawah kerajaan pusat, manakala senarai negeri terletak di bawah kerajaan negeri.
“Pada pendapat saya, kuasa menggubal undang-undang jenayah syariah terletak pada badan perundangan negeri, termasuk penubuhan Mahkamah Syariah dan penetapan had hukuman,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penangguhan usul rang undang-undang (RUU) persendirian untuk
meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dengan lebih banyak kuasa.
Semalam, Hadi sekali lagi menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang Dewan Rakyat akan datang, bagi membuat pindaan yang mencadangkan hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan”.

Haniff berkata, disebabkan Mahkamah Syariah diwujudkan badan perundangan negeri, maka negeri yang perlu memberi kuasa kepada mahkamah agama masing-masing bagi melaksanakan hukuman sewajarnya.
“Sebab itu pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk meningkatkan hukuman ialah rang undang-undang tidak relevan,” katanya.

Peguam itu berkata, sebelum 1988, semua keputusan Mahkamah Syariah tidak diiktiraf secara sah oleh Perlembagaan Persekutuan dan mengkehendaki Mahkamah Tinggi menjalankan tugas penyeliaan.
Pada mulanya, mahkamah agama diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman penjara sehingga 6 bulan dan maksimum denda RM1,000.
Pada 1989, hukuman jenayah syariah dihadkan kepada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan, hukuman yang Hadi cadang untuk tingkatkan.

“Disebabkan pindaan pada 1988 itu dibuat secara tiba-tiba, pengamal undang-undang tidak tangani isu itu daripada segi perlembagaan,” katanya.
Haniff berkata, peguam negara perlu menjalankan tugasnya untuk menasihatkan Putrajaya mengenai kedudukan perlembagaan RUU itu.
“Polemik semasa yang menyelubungi rang undang-undang itu tidak perlu dan terlampau disensasikan atas sebab-sebab politik,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam di Kelantan atau kerajaan persekutuan berhak membawa badan perundangan Kelantan ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kecekapan menggubal undang-undang dan menetapkan hukuman dalam perundangan Islam.

No comments:

Post a Comment