Bekas peguam negara berkata Tan Sri Pandikar Amin
Mulia perlu melaporkan siapa individu yang memberitahunya maklumat 1MDB
dalam mesyuarat Kabinet diklasifikasikan maklumat sulit.
PETALING
JAYA: Tan Sri Abu Talib Othman mempersoalkan bagaimana speaker Dewan
Rakyat tahu yang 3 bekas menteri mendedahkan rahsia kerajaan ketika
mereka membangkitkan isu 1MDB pada sesi perbahasan minggu lalu.
Bekas peguam negara itu hairan bagaimana Tan Sri Pandikar Amin Mulia,
sebagai ketua legislatif tahu yang Kabinet membincangkan isu 1MDB serta
bagaimana beliau tahu apa dibincangkan itu diklasifikasikan sebagai
maklumat.
“Ada sesiapa beritahu beliau mengenai perkara itu? Jika begitu,
speaker Dewan Rakyat perlu membuat laporan polis terhadap orang itu,”
katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian susulan polis memulakan siasatan terhadap
bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri
kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan bekas menteri
pembangunan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Shafie Apdal kerana
didakwa mendedahkan rahsia negara.
“Saya melihat logik speaker. Bagaimana dia tahu apa yang dicakapkan
oleh 3 bekas menteri itu pernah dibincangkan dalam Kabinet dan ia
diklasifikasikan sebagai maklumat?,” soalnya.
Pandikar mengadakan sidang media pada 27 Oktober di mana beliau
berkata 3 bekas menteri itu mungkin melanggar sumpah kerahsiaan mereka
apabila membangkitkan isu 1MDB ketika membahaskan Bajet 2017 di Dewan
Rakyat.
Beberapa undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan, boleh digunakan terhadap ahli Parlimen, katanya.
Susulan itu, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Sahabat N87 Wilayah
Persekutuan membuat laporan polis terhadap 3 bekas menteri itu kerana
mendedahkan rahsia kerajaan.
Abu Talib, yang bersara pada 1993 berkata agak luar biasa untuk
Pandikar begitu terbuka mengenai perkara itu kerana speaker
mengendalikan prosiding dalam Dewan tertakluk kepada peraturan prosedur.
Bekas hakim mahkamah rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata
Pandikar tidak sepatutnya memberikan pandangannya mengenai undang-undang
di luar Dewan Rakyat kerana beliau hanya boleh membangkitkan perkara
itu dengan merujuknya menerusi Peraturan Mesyuarat.
“Dia boleh membangkitkannya ketika perkara itu sedang dibincangkan
dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat jadi mereka yang berkenaan
boleh menjustifikasikan tindakan mereka. Untuk komen mengenainya selepas
itu prejudis terhadap pihak berkenaan dan tidak wajar,” katanya kepada
Malaysiakini.
Dalam laporan berasingan, Malaysiakini berkata Haniff Khatri, peguam
kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa Pandikar
mencetuskan supaya laporan polis dibuat terhadap bekas menteri
berkenaan.
Haniff berkata oleh sebab Pandikar membuat kenyataannya itu di luar Dewan Rakyat, beliau tidak dapat perlindungan Parlimen.
Beliau juga mendakwa kenyataan Pandikar hingga laporan polis dibuat
itu ialah “tindakan yang memudaratkan demokrasi berparlimen”.
“Ini kerana beliau cuba menghalang ahli Parlimen menjalankan tugas
mereka membahas dan membincangkan isu relevan di Parlimen, selari dengan
Perlembagaan Persekutuan,” kata Haniff kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Abu Talib berkata polis perlu melengkapkan siasatan mereka terhadap perkara itu kerana laporan sudah dibuat.
“Polis terikat dengan tugas untuk menyiasat jika wujud perlakuan
jenayah. Terserah kepada pihak pendakwa raya untuk buat keputusan dan
merangka pertuduhan berdasarkan bukti kukuh sebelum dibawa ke mahkamah,”
katanya.
Polis menangguhkan untuk merakamkan keterangan Husni ke minggu depan sementara Muhyiddin juga akan disoal siasat minggu depan.
goblok betul la ....pendekar najid ni.....kah kah kah
ReplyDelete