Wednesday, November 23, 2016

Tak semua orang makan ‘dedak’, kata Ibrahim Ali pada Dr M

 FMT| November 22, 2016
Presiden Perkasa mengaku rapat dan hormati Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak adil jika semua yang tidak bersetuju dengan bekas perdana menteri itu dikatakan makan “dedak”.
ibrahim-ali-mahathir-dedak-1
PETALING JAYA: Presiden Perkasa hari ini membidas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana suka melabel mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan beliau sebagai “pemakan dedak”.
Datuk Ibrahim Ali berkata sebagai negarawan, bekas perdana menteri itu tidak sewajarnya membuat tuduhan melulu kepada individu yang tidak berpihak kepadanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang kecewa dengan keputusan Perkasa untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan berkata tindakan itu bagi membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Tidak adil seorang negarawan untuk buat tuduhan melulu. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu, lagi pun saya sudah pernah bertanding sebagai calon bebas sebelum ini.

“Saya bukan sokong Najib, ini satu fitnah. Sebab tidak setuju dengan Najiblah saya (dan Perkasa) akan bertanding kerana kami ingin membawa agenda kami,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pada 20 November, Ibrahim mengumumkan Perkasa akan meletakkan 50 calon yang akan bertanding di bawah tiket bebas pada PRU14, dengan tumpuan di kawasan majoriti Melayu.

Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini berkata beliau kecewa kerana Ibrahim sebelum ini pernah menyatakan komitmen untuk sentiasa menyokongnya, tetapi enggan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semata-mata kerana parti itu bekerjasama dengan DAP.

Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas berkata beliau mengaku rapat dan menghormati Dr Mahathir, namun menegaskan beliau tetap ada prinsip perjuangannya sendiri.
“Saya tidak mahu sokong membabi-buta sebab saya bukan ‘lembu’. Dia kena hormati juga pendirian saya,” katanya.

Malah, Ibrahim berkata beliau pernah memaklumkan sendiri kepada Dr Mahathir yang beliau tidak akan menyokongnya jika bekerjasama dengan DAP.
“Kalau beginilah cara Tun, tuduh (siapa yang tidak bersetuju dengannya) makan dedak dan sokong Najib, kalau dia terus begini, dia akan tinggal keseorangan nanti. Nasihat saya kepada Tun, jangan tuduh melulu,” katanya.

Ibrahim berkata keputusan Perkasa untuk bertanding secara bebas dalam PRU akan datang bertujuan supaya calon mereka yang menang tidak perlu terikat dengan parti dalam setiap perkara.

“Bila bertanding di bawah parti, kita kena ikut ‘whip’ parti. Di Parlimen, kita kena sokong dan undi berdasarkan ketua whip. Jika (menang secara) bebas, kita bebas untuk bercakap dan mengundi.
“Inilah tujuan kita untuk bertanding secara bebas. Bukan soal beri kelebihan kepada BN,” katanya.

1 comment:

  1. Dont worry calon PERKASA In Sya Allah semua akan hilang deposit.

    ReplyDelete