Malaysiakini 25/11/16
Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque ditangkap kerana menghasut
selepas mengadakan pameran kartun yang didakwa menghina Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak.
Zunar turut ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang
berkaitan dengan penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk
mencetuskan pecah keamanan.
Terdahulu beliau diminta memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Timur Laut di Jalan Pattani.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, polis kini akan
merampas karya-karya Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar.
"Polis kini akan pergi ke Komtar bersama-sama dengan Zunar untuk
merampas semua karya-karya beliau. Lokasi adalah di Asia Comic Muzium
Komtar aras 3," kata Sim.
ADUN Seri Delima RSN Rayer mewakili Zunar.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Meor Farid Alatrash mengesahkan penangkapan itu.
"Dia akan ditahan 24 jam untuk membantu siasatan .. jika siasatan
tidak lengkap, kita akan mendapatkan perintah reman esok pagi," katanya.
Ini adalah penangkapan kali ke- 10 terhadap Zunar di bawah Akta
Hasutan. Beliau kini menghadapi sembilan pertuduhan yang jika sabit
kesalahan boleh dipenjara 43 tahun.
Zunar juga menghadapi sekatan perjalanan sementara menunggu perbicaraannya.
Semalam, pameran Zunar di Komtar diganggu oleh sekumpulan 30
anggota Umno yang diketuai Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul
Rahim.
Mereka menendang dan merosakkan dua karya kartunis itu.
Zunar mendakwa empat tumbukan dilepaskan terhadapnya dan mereka menarik kolar beliau tetapi berjaya mengelakkan diri.
Rafizal memberi amaran anggota-anggota Pemuda Umno akan menggunakan
kekerasan pada Zunar sekiranya beliau meneruskan pameran itu yang
sepatutnya diadakan sehingga 2 Disember.
Rafizal mendakwa karya seni Zunar adalah satu penghinaan kepada Najib, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno.
Pelbagai pihak kecam
Pameran Zunar adalah sebahagian daripada Festival Sastera George Town.
Dalam satu kenyataan petang ini, pihak festival berkenaan mengutuk penangkapan Zunar.
"Festival mengutuk perbuatan menindas ini yang bertentangan dengan
semangat kebebasan bersuara dan ekspresi," kata pengarah festival
Bernice Chauly.
Pihak penganjur festival menggesa pihak berkuasa segera membebaskan
Zunar dan tidak mengganggu acara melibatkan 60 penulis daripada 20 buah
negara.
Michael Vatikiotis, seorang penulis di festival itu, juga menyelar penangkapan Zunar.
"Tahap penindasan sedang mencapai tahap berbahaya di Malaysia.
"Hakikat bahawa penangkapan Zunar berlaku di Fetival Sastera George
Town, dengan berpuluh-puluh penulis dan seniman antarabangsa, hanya
menunjukkan kerajaan tidak kisah kebebasan bersuara," kata Vatikiotis.
Sementara itu, Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh mempertahankan Zunar.
"Zunar adalah seorang artis dan hati nurani masyarakat. Beliau
melukis bagi pihak kami dan komited untuk kebebasan bercakap dan
bersuara untuk rakyat Malaysia.
"Hanya dengan kebebasan bersuara kita boleh menjadi sebuah negara yang benar-benar demokratik," katanya.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairul Khir Johari berkata penangkapan itu telah mencemari festival berkenaan.
"Semalam, sekumpulan samseng mengganggu pameran Zunar di Komtar, dan
hari ini pihak berkuasa menangkap Zunar di bawah Akta Hasutan, bukannya
penyerang beliau" katanya.
No comments:
Post a Comment