BNM menafikan berjuta-juta pengguna kad ATM dan kad kredit PayWave terdedah kepada penyeluk saku elektronik.
PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menegaskan kad ATM
dan kad kredit yang dilengkapi ciri keselamatan baharu di bawah sistem
PayWave tidak boleh diklonkan atau digunakan untuk transaksi tidak
disahkan pemegang kad sendiri.
Sehubungan itu, BNM menafikan berjuta-juta pengguna kad ATM dan kad
kredit PayWave mudah terdedah kepada penyeluk saku elektronik.
BNM dalam satu kenyataan berkata, kad tanpa sentuh itu dilengkapi
ciri keselamatan termasuk cip yang mengandungi kod dinamik bagi setiap
transaksi dan pemegang kad dikehendaki memasukkan kod pengesahan
transaksi (TAC) untuk urus niaga kad dalam talian dan maklumat penting
dalam kad tidak boleh dicuri secara elektronik.
BNM turut menasihatkan pemegang kad menghubungi bank dengan segera,
jika kad mereka hilang atau dicuri atau nombor pengenalan peribadi (PIN)
mereka terjejas atau berlaku transaksi tidak dibenarkan menggunakan kad
mereka.
Oktober lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) pernah memberi jaminan kad
tanpa sentuh yang dilengkapi ciri keselamatan terkini adalah instrumen
pembayaran sangat selamat dan hampir mustahil dipalsukan.
Bagaimanapun, pada 7 Disember lalu, FMT memetik Penolong Setiausaha
Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), A Karuna sebagai
berkata, kad ATM, debit dan kredit baharu itu mungkin lebih mudah
terdedah kepada kecurian data kerana pencuri boleh menggunakan alat khas
yang dapat memantulkan secara magnetik maklumat kad mereka.
“Dengan menggerakkan alat di hadapan kad pengguna, maklumat pengguna
boleh dicuri. Jadi bukankah ini bermaksud orang lain boleh menggunakan
alat yang sama untuk mencuri maklumat?” katanya merujuk sebuah video
YouTube yang menunjukkan bagaimana maklumat dicuri daripada kad PayWave.
Bukan itu sahaja, pakar keselamatan teknologi maklumat, Mohd Nizam
Mohd Salleh yang dipetik Harian Metro semalam turut mendakwa cip baharu
kad debit yang diperkenalkan awal tahun ini lebih berisiko terdedah
kepada kecurian data.
Katanya, penjenayah boleh mengesan gelombang radio transaksi itu
dalam jarak kurang 1m melalui aplikasi dimuat turun ke telefon pintar
dan selepas data diperolehi, mereka boleh melakukan transaksi dengan
mengimbas telefon pintar di mesin payWave.
No comments:
Post a Comment