Sinar Harian
30 Januari 2017
TANGKAK - Tindakan seorang bapa yang cuba berunding dengan anggota
kumpulan ceti haram selepas kediaman mereka diserang menemui padah
apabila dia ditikam oleh salah seorang daripada individu ahli kumpulan
terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri
berkata, mangsa berusia 46 tahun yang bekerja sebagai mekanik mesin
jahit telah ditikam oleh salah seorang daripada suspek menggunakan
senjata tajam dipercayai pisau sejurus keluar daripada rumahnya.
“Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi pada sambutan Tahun Baru Cina,
tiga suspek telah menyerang rumah mangsa bagi menuntut sejumlah hutang
yang dipinjam oleh anak lelakinya.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga ahli kumpulan terbabit turut menimbulkan
kekecohan dengan membakar motosikal mangsa sebelum mangsa bertindak
keluar rumah bagi melihat keadaan motosikalnya.
“Bagaimanapun tindakan berani mangsa akhirnya menemui padah apabila dia
ditikam oleh salah seorang daripada suspek berkenaan,” katanya dalam
sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.
Menurut beliau, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil selepas mendapat rawatan di Hospital Tangkak.
Mohad Idris berkata, cubaan menjejaki ketiga-tiga suspek kini giat
dijalankan dan dua daripada mereka telah dikenal pasti identiti iaitu
Ker Chian Hau berusia 25 tahun dan Vincent Jauy Joo Sen, 24 tahun.
No comments:
Post a Comment