Tuesday, February 7, 2017

Berhenti pandang rendah pengundi Melayu, kata Rafizi

 FMT| February 7, 2017
Naib presiden PKR berkata pembangkang juga "hilang sentuhan" dalam mendekati orang Melayu dan dilihat cuba memaksa pandangan "dari bandar dan kelas pertengahan" yang tidak relevan buat mereka.
rafizi-ramli-1
PETALING JAYA: Demi mendapat sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, pembangkang perlu berhenti dilihat seperti memandang rendah terhadap mereka, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Bercakap pada sidang meja bulat “Selamatkan Malaysia” hari ini, Rafizi berkata tindakan itu boleh menyebabkan pembangkang hilang kewibawaan dan kepercayaan dalam kalangan orang Melayu.

Rafizi memetik keputusan tinjauan yang dibuat NGO, Invoke Malaysia yang menunjukkan 40% responden Melayu akan tetap mengundi BN walau mengakui kelemahan mereka.
“Masalah kita sebagai pembangkang, NGO serta orang bandar dan berpengetahuan, kita tidak menjiwai yang pengundi Melayu perlukan lebih daripada kata-kata.

“Mereka tahu (masalah BN), tetapi tidak merasakan kita dapat buat yang lebih baik,” katanya yang juga ahli Parlimen Pandan itu.
Beliau berkata pembangkang juga “hilang sentuhan” dalam mendekati orang Melayu dan dilihat cuba memaksa pandangan “dari bandar dan kelas pertengahan” yang tidak relevan buat mereka.

“Dan pada kebanyakan masa, kita memandang rendah mereka kerana menganggap mereka tidak faham (isu dan masalah negara),” katanya.
Sokongan pengundi Melayu dilihat masih menjadi antara penghalang Pakatan Harapan untuk menewaskan BN, apatah lagi dengan hubungan tegang antara mereka dengan PAS.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu, isu nasional seperti dakwaan melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibawa Pakatan Harapan gagal menarik sokongan pengundi Melayu terhadap mereka.

Rafizi berkata pembangkang perlu menunjukkan keikhlasan dalam memperbaiki kehidupan pengundi Melayu untuk tidak lagi dilihat sebagai “oportunis” dan “memandang rendah”.

“Kita perlu tunjukkan yang kita mampu lakukan lebih baik, secara ikhlas menawarkan penyelesaian dan mengakui kelemahan.
“Ia boleh bermula dengan memahami (kehendak dan suara) mereka,” katanya.
Perbincangan meja bulat itu dihadiri pemimpin Pakatan Harapan dan NGO dan antaranya membincangkan kaedah bagi menewaskan BN pada PRU14

No comments:

Post a Comment